KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia terpaksa menjalankan pemeriksaan teliti terhadap pengguna jalan raya bagi memastikan mereka mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pemeriksaan anggota polis di sekatan jalan raya adalah bagi memastikan orang ramai tidak mengambil peluang bergerak sesuka hati tanpa sebab munasabah.
"Kita juga sedia maklum pemeriksaan teliti di sekatan jalan raya juga antara penyebab kepada pergerakan kenderaan yang perlahan namun pemantauan mendapati kesesakan itu tidak melebihi satu kilometer," katanya pada sidang akhbar trend aliran trafik sepanjang PKP di Bukit Aman hari ini.
Azisman berkata, pihaknya juga meletakkan papan tanda makluman kira-kira 500 meter sebelum sekatan jalan raya namun ia bergantung kepada lokasi supaya tidak ada kejadian diingini berlaku termasuk kemalangan.
"Kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya diprovokasi dengan pengguna jalan raya yang enggan beri kerjasama," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mendapati 70 peratus pengguna jalan raya ada kebenaran dan terlibat dalam perkhidmatan penting negara.
"Selebihnya pengguna jalan raya memberi alasan beli barang namun mereka masih mematuhi PKP dengan menaiki kenderaan berseorangan.
"Pengguna jalan raya yang mahu membeli barangan keperluan dinasihatkan tidak terburu-buru keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan luar biasa," katanya.