Kos hasilkan PPE meningkat tiga kali ganda: MACMA

Iklan
Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan mendakwa kos kain khas 'non woven' untuk membuat set lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) meningkat tiga kali ganda. (Gambar hiasan) - Foto Bernama

KOTA BHARU - Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan mendakwa kos kain khas 'non woven' untuk membuat set lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) meningkat tiga kali ganda.

Pengerusinya, Dr Johari Yap berkata, walaupun kesal dengan situasi itu, perkara itu tidak mematahkan usaha mereka menyediakan PPE untuk keperluan petugas barisan hadapan.

Iklan
Iklan

"Kain 'non woven' ini sudah ditempah dari sebuah kilang di Kedah, namun kami dimaklumkan ia sudah kehabisan stok, malah kami perlu menunggu, selain harganya juga meningkat sehingga tiga kali ganda daripada kebiasaannya.

"Kenaikan harga ini menyebabkan kos bahan mentah untuk menyiapkan sut PPE yang terdiri daripada gaun, serkup kepala dan penutup but yang sebelum ini sekitar RM30 sepasang mungkin meningkat kepada hampir RM100 sepasang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, namun begitu semua itu tidak menjadi ukuran berbanding dengan nyawa petugas barisan hadapan yang berdepan risiko.

Johari berkata, bagi mempercepatkan proses menyiapkan PPE, MACMA Kelantan akan memohon kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk meminjamkan mesin jahit mereka memandangkan persatuan hanya mempunyai empat mesin jahit.

Iklan

Beliau berkata, MACMA Kelantan berhasrat menyumbangkan 3,000 set PPE kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara dijahit oleh ahli MACMA Kelantan, Terengganu, sukarelawan dan badan bukan kerajaan lain. - Bernama