Sekatan eksport ikan ditarik balik

Iklan
Hamdan membuat pemantauan operasi penjualan ikan di Pasar Nelayan LKIM Seberang Kota.

SUNGAI PETANI - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah memutuskan tiada sekatan eksport ikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bekalan dijamin mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Pengarahnya, Hamdan Mamat berkata, eksport bekalan ikan ke luar negara tetap diteruskan dan sekatan bermula 15 April ditarik balik.

Iklan
Iklan

"Kita yakin bekalan ikan sepanjang tempoh PKP dan musim perayaan mencukupi bagi memenuhi permintaan domestik," katanya ketika memantau operasi penjualan ikan di Pasar Nelayan LKIM Seberang Kota dan Kubang Rotan.

Sebelum ini, LKIM membuat keputusan menyekat eksport ikan antara 15 April sehingga 15 Jun sempena Ramadan dan Aidilfitri bagi membolehkan harga ikan di pasaran terus dikawal.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Hamdan memberitahu tiada isu lambakan ikan dilaporkan berlaku sepanjang PKP walaupun pergerakan terhad selain syarat terhadap peraih diperketatkan.

"Setakat ini tiada lambakan ikan kembung kecuali apabila peraih berkurangan kerana nelayan lambat pulang dari laut. Ikan akan turun harga kepada RM1.80 atau RM1.50 sekilogram atau lebih rendah tetapi tiada lambakan.

Iklan

"Kita hanya membenarkan peraih berlesen memasuki kompleks LKIM untuk mendapatkan ikan dari nelayan. Mereka yang tidak mempunyai lesen boleh memohon dan kelonggaran kepada mereka supaya boleh menghantar ikan," katanya.

Tambahnya, permohonan perlu disertakan salinan kad pengenalan, sijil pendaftaran perniagaan dan lesen borong atau runcit yang boleh diperolehimelalui laman web e-pelesenan LKIM.

Hamdan dalam pada itu memberitahu lapan Pasar Nelayan LKIM antaranya di Seberang Kota, Kubang Rotan, Jerlun, Kuala Kuar, Sungai Limau, Tanjung Dawai, Kuala Muda dan Penarak di Langkawi yang menawarkan bekalan ikan kepada pengguna beroperasi seperti biasa dalam tempoh PKP.

"Hanya Pasar Nelayan Kuala Muda dihentikan sementara untuk aktiviti jual beli antara pelanggan berbanding jual beli ikan antara peraih dan nelayan dibenarkan beroperasi seperti biasa di Pasar Bisik.

"Bagaimanapun konsep bisik dimansuhkan bagi mematuhi penjarakkan sosial sejak PKP dilaksanakan," katanya.