SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan melaksanakan Op Sumber Air membabitkan pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama bermula Jumaat lalu sehingga 31 Mei ini.
LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu diambil bagi mengelakkan pencemaran dan henti tugas di Loji Pembersihan Air (LPA) utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta sambutan Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidifitri.
"Operasi pemantauan berjadual akan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi kerajaan negeri. Ia dijalankan secara khusus di kawasan strategik termasuk Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Sungai Semenyih.
"LUAS akan menyelaras tindakan bersama agensi terlibat dan operasi pemantauan ini mengambil kira langkah-langkah keselamatan dan kesihatan kakitangan bertugas sepanjang tempoh PKP ini," kata kenyataan itu.
Selain itu, LUAS berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi memastikan kelangsungan sumber air di Selangor terutama ketika negara sedang berusaha menangani wabak Covid-19.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi pada jam 11 malam Khamis lalu.
Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihentikan operasi berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan bekalan air sementara di KL, Selangor