KUALA TERENGGANU - Jualan ayam pada harga serendah RM1.99 sekilogram menjadi punca tarikan orang ramai berkumpul hingga ada yang gagal mematuhi jarak sosial di Besut baru-baru ini.
Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook, Polis Terengganu memaklumkan pihaknya berjaya mengesan perkara itu pada Khamis lalu melalui media sosial dan rondaan dilakukan pada hari sama bagi memastikan orang kampung mematuhi saranan kerajaan supaya tidak dijangkiti Covid-19.
Iklan
Iklan
"Pasukan kereta peronda MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal ke kawasan tersebut untuk menasihatkan serta memantau orang ramai supaya menjaga jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta sanitasi tangan.
"Malah teguran terhadap pengusaha gerai turut dibuat bagi menjaga pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” menurut kenyataan tersebut.
Video orang kampung sedang beratur panjang di lokasi tersebut tular di media sosial dan ia menimbulkan keresahan dalam kalangan netizen berikutan Besut berada dalam zon jingga dengan rekod 32 orang positif Covid-19 setakat ini. - Bernama