KKM bantu MKN pantau kesihatan individu di penjara sementara

Iklan
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap individu yang ditempatkan di penjara sementara kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun telah ada doktor sedia ada di 11 penjara sementara yang telah diwartakan itu namun pihaknya tetap akan membantu melaksanakan pemeriksaan.

Iklan
Iklan

"KKM akan berpadu tenaga dengan MKN untuk pastikan kesihatan mereka yang dimasukkan ke penjara sementara itu.

"Kesihatan mereka (individu yang ditahan dan petugas penjara) akan sentiasa dipantau," katanya pada sidang akhbar di KKM di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM akan menempatkan petugas khusus di penjara sementara itu bagi memastikan tidak berlaku jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

Iklan

Katanya, penjara sementara ini akan beroperasi bermula 23 April ini dan KKM akan membantu menyediakan petugas kesihatan.