SHAH ALAM - Kekangan untuk mengambil tempahan menjahit pakaian kerana tidak dapat keluar rumah membeli fabrik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak menjadi penghalang buat Rasidah Abdul Aziz, 36, untuk terus kreatif memanfaatkan kemahiran dimiliki.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, bagi memastikan terus mempunyai pendapatan sepanjang tempoh PKP ini, dia mengambil keputusan untuk membuka tempahan topeng muka yang dilihat menjadi keperluan orang ramai pada ketika ini.
Menurutnya, buat masa ini dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada jahitan topeng muka di samping menyiapkan tempahan baju raya.
"Setakat ini, saya dah jahit lebih 600 topeng muka yang boleh dibasuh dan diulang pakai.
"Kain yang saya gunakan juga dari material knit cotton atau kain t-shirt yang tak panas dan amat selesa dipakai sepanjang hari," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, topeng muka yang dijahitnya terdiri daripada dua jenis iaitu yang mempunyai dua lapisan dan tiga lapisan pada bahagian sebelah dalamnya.
"Topeng muka tiga lapisan ada dibuat lubang, jadi pelanggan boleh letakkan tisu atau filter sendiri.
"Terdapat saiz untuk dewasa dan kanak-kanak dan harga bagi topeng muka dua lapisan berharga RM7 sekeping serta tiga RM20, sementara yang tiga lapisan RM10 satu dan RM27 bagi tiga keping," katanya yang memberitahu setiap topeng muka dihasilkan berdasarkan tempahan pelanggan.
Rasidah yang mempunyai kemahiran menjahit sejak di sekolah menengah itu berkata, dia menerima tempahan daripada pelbagai pihak termasuk kawan-kawan, ahli keluarga, jiran tetangga serta pelanggan tetap dari seluruh Malaysia.
"Sambutan sangat menggalakkan, alhamdulillah usaha saya menjahit topeng muka dalam tempoh ini memang membantu saya menjana pendapatan tambahan dan setakat ini, pendapatan diperoleh mencecah RM4,000.
"Saya bersyukur walaupun tak dapat buat tempahan lain, saya masih boleh hasilkan topeng muka dan alhamdulillah ia sangat membantu saya untuk terus 'survive' dalam keadaan kritikal sekarang," katanya yang tinggal di Putrajaya.
Menurutnya, beliau percaya jika seseorang itu kreatif dalam mempelbagaikan kemahiran dimiliki, pasti dapat mencari jalan keluar terutamanya dalam keadaan seperti sekarang ini.
Apa yang penting katanya, jangan mudah berputus asa kerana harapan sentiasa ada bagi yang berusaha.