KPM perlu sedia mekanisme penilaian bersama pakar pendidikan

Iklan
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyediakan satu mekanisme khusus bagi menentukan keupayaan murid Tahun Enam yang akan menyambung pelajaran ke sekolah menengah atau saringan pemilihan aliran sains dan sastera untuk pelajar Tingkatan Empat kelak.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, tenaga pakar dan berpengalaman dalam bidang pendidikan kurikulum, kokurikulum, vokasional serta kaunseling perlu berbincang bersama agar pelaksanaannya dapat memenuhi aspirasi falsafah pendidikan negara.

Menurutnya, penglibatan badan bukan kerajaan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) atau pertubuhan yang terlibat secara langsung perlu mengembeling tenaga dalam menghadapi saat getir ini.

"Kami juga ingin sarankan agar Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai peperiksaan tahunan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2020 serta pelaksanaan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama (STA) bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri-negeri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ahmad Fakhruddin berkata, ini kerana sijil-sijil agama berkenaan adalah penting sebagai penanda aras kefahaman pelajar tentang silibus pengajian agama yang ditetapkan Bahagian Pendidikan Islam.

"Kami ucapkan tahniah kepada KPM kerana memberikan respon baik terutamanya keputusan pantas sewaktu wabak koronavirus (Covid-19) mula mengganas. Ini termasuk respon berkenaan persediaan tertentu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap institusi pendidikan dan warga pendidik apabila tempoh itu berakhir," katanya.

Menurutnya, semua warga institusi pendidikan bawah KPM dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar sememangnya ternanti-nantikan keputusan terbaik berhubung hala tuju pendidikan negara sepanjang wabak Covid-19 melanda.

"Ia penting kerana dapat membantu institusi pendidikan seperti pengelola sekolah dan guru merangka program-program pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelajar dapat terus belajar secara efektif dan berkesan.

"Kami menyokong penuh keputusan KPM menangguhkan tempoh pengajian sehingga keadaan persekitaran sekolah benar-benar selamat daripada ancaman Covid -19 termasuk peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dianjak hingga ke suku pertama tahun 2021," katanya.

Katanya, keputusan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) juga tepat kerana dilihat selaras dengan kemaslahatan pelajar di sekolah yang berisiko dengan penularan wabak Covid-19.