GOMBAK - Pemilik kedai runcit di Taman Samudera di sini dikompaun RM1,000 kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan terkawal iaitu gula dan tepung gandum.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kesalahan itu dikesan KPDNHEP Cawangan Gombak dalam satu pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam hasil aduan orang awam.
Iklan
Iklan
"Kami mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas pemilik kedai runcit terbabit dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
"Gula dan tepung gandum adalah barang kawalan dan kegagalan meletakkan tanda harga terhadap barang kawalan ini dikhuatiri akan diambil kesempatan oleh peniaga terbabit dengan menjual lebih daripada harga yang dikawal," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Muhamad Zikril berkata, harga kawalan bagi gula bertapis kasar adalah RM2.85 bagi kuantiti 1 kilogram (kg) manakala tepung gandum yang dikawal adalah RM1.35/kg.
Katanya, premis itu juga telah diperiksa beberapa kali sebelum ini dan amaran telah dikeluarkan, namun peniaga terbabit masih berdegil.
"Semua peniaga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan kerajaan. Pihak KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas mana- mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan lebih-lebih dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.