SUNGAI BESAR - Pasukan Polis Marin (PPM) melumpuhkan kegiatan dua bot nelayan warga asing yang melakukan aktiviti menangkap ikan di Laut Sungai Besar di sini ketika rondaan Op Covid-19 bagi tempoh dua hari sejak kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, dalam tangkapan berasingan itu, seramai tujuh lelaki termasuk lima lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan.
"Tangkapan pertama kira-kira jam 5 petang dibuat selepas mengesan sebuah bot tunda kelas B yang mencurigakan.
"Pemeriksaan mendapati seorang tekong serta tiga awak-awak warga Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri sedang menangkap hasil laut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Tambahnya, pada keesokan hari kira-kira jam 2.50 petang, pihaknya turut menangkap tiga lelaki iaitu dua warga tempatan serta seorang warga Vietnam yang sedang menangkap ikan menggunakan bot tunda kelas B1.
Hazri berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot gagal mengusahakannya sendiri serta menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran.
Katanya, pihaknya turut merampas pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 1,100 kilogram bernilai RM8,300.
Tambahnya, mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lalu dan hasil tangkapan akan dijual di pasaran tempatan.
"Kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya.