KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas melanggar tiga kereta dan dua motosikal mengundang kemarahan orang awam yang bertindak mengejarnya.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari ini di Kilometer 13.4 Lebuhraya Baru Pantai (NPE) arah Bangsar.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Sharifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak empat kereta dan dua penunggang motosikal serta seorang pembonceng terlibat dalam kemalangan tersebut.
Menurutnya, suspek yang memandu kereta jenis Hyundai Accent memandu secara cuai sehingga melanggar kenderaan lain.
"Sikapnya yang tidak cermat dan melulu menyebabkan pergeseran dengan kenderaan jenis Mazda 3, sebelum melanggar penunggang dan pembonceng motosikal dari arah belakang.
"Tidak hanya itu, dalam keadaan masih bergerak, kenderaan itu terus bergerak ke hadapan dan bergesel pula dengan teksi serta kenderaan lain sebelum merempuh penunggang motosikal lain sehingga tercampak.
"Motosikal itu diseret sejauh lima kilometer sebelum berhenti," katanya.
Katanya, orang awam yang melihat insiden tersebut bertindak menahan dan mengejar pemandu tersebut yang cuba melarikan diri.
"Tiga cedera terdiri membabitkan dua penunggang dan seorang pembonceng dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan.
"Sementara pemandu itu masih ditahan di balai polis Pantai untuk ujian air kencing dan akan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk ujian alkohol," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.