KOTA KINABALU - Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), hari ini menetapkan kadar zakat fitrah untuk negeri Sabah berdasarkan dua kadar zakat iaitu RM6 bagi golongan yang terkesan dan RM7.50 untuk golongan yang kurang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Hasbullah Mohd Taha berkata, ia bagi meringankan beban umat Islam untuk menunaikan zakat pada tahun ini.
"Jumlah bayaran yang perlu dibuat bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga.
"Umat Islam di Sabah boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing," katanya kepada sidang media di Wisma MUIS di sini hari ini.
Hasbullah berkata, umat Islam amat digalakkan membuat pembayaran dalam talian melalui institusi perbankan yang dilantik sebagai agen kutipan zakat antaranya Maybank, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional atau melalui aplikasi Snap N Pay, MYeG dan Boost kepada MUIS.
Katanya, MUIS juga telah menghantar beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kaedah pembayaran tunai, iaitu melalui amil yang bergerak dari rumah ke rumah.
Selain itu amil statik (pembayar datang ke rumah amil), pandu lalu di 20 laluan utama, pembukaan kaunter di balai polis serta bomba dan pembayaran kaunter di pejabat bahagian zakat dan fitrah di seluruh Sabah.
Namun cadangan itu masih menunggu kebenaran daripada pihak MKN dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan setiap prosedur yang ditetapkan dipatuhi.
Hasbullah berkata, tahun ini MUIS menyasarkan pungutan zakat fitrah pada tahun ini ialah sebanyak RM10,875,000 berbanding RM9,772,966.
Katanya, MUIS turut memperuntukkan sebanyak RM9.4 juta untuk diagih-agih kepada 42,177 golongan asnaf, miskin, mualaf dan 1,967 amil fitrah pada tahun ini. - Bernama