Mat Sabu jawab tuduhan guna kenderaan kerajaan

Iklan
Mohamad menjelaskan tentang dakwaan beliau menggunakan kenderaan rasmi kerajaan ketika menyertai kempen pilihan raya.

SHAH ALAM - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau menaiki kenderaan sendiri melalui jalan darat pada hari penamaan calon di PRK Cameron Highlands Sabtu lalu.

Mohamad berkata, dakwaan menyatakan beliau menaiki helikopter yang juga kenderaan rasmi kerajaan adalah bohong semata-mata.

Iklan
Iklan

Presiden Amanah itu juga sempat memberikan penjelasan kepada masyarakat berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya ketika mengikuti kempen calon PH, M Manogaran dalam PRK Cameron Highlands hari ini.

"Saya jelaskan (kepada masyarakat) mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong dan tidak cermat fakta kerana menuduh saya datang ke penamaan calon PRK Cameron Highlands dengan helikopter sedangkan saya datang melalui jalan darat dengan kenderaan persendirian," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Iklan

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Mat Sabu tuntut duit minyak dari Kit Siang?', tanya Najib]

[ARTIKEL BERKAITAN: Jentera kerajaan: Kementerian Pertahanan jawab dakwaan Najib]

Iklan

Semalam, Najib dalam Facebook miliknya menyindir Mohamad Sabu yang menggunakan kenderaan rasmi kerajaan menghadiri kempen pilihan raya dan 'mengusiknya' supaya membuat tuntutan duit minyak dari veteran DAP, Lim Kit Siang memandangkan Manogaran dari parti itu.

Bagaimanapun Kementerian Pertahanan menafikan Mohamad menggunakan jentera kerajaan seperti yang didakwa, sebaliknya menegaskan gambar tular yang memaparkan menteri itu yang berlatarbelakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohamad turut berkongsi pengalamannya dalam membantu kempen calon PH sepanjang hari ini.

"Hari ini saya turun (dengan kenderaan sendiri ya!) membantu kempen calon PH di Sungai Koyan dengan menyantuni masyarakat di pasar malam dan kemudian bersolat Maghrib di Masjid Sg Koyan 1.

"Malam ini pula berceramah di dataran depan Masjid Sungai Koyan," katanya.

Selain itu, Mohamad turut menjawab tuduhan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengatakan kerajaan PH tidak buat apa-apa untuk kebaikan veteran tentera.

Menurutnya, isu itu bukan perkara baharu dan beliau mendedahkan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang ditubukan sejak 2012 langsung tidak pernah mengadakan mesyuarat.

"Itu zaman Hishammuddin. Tahun 2018 MVK telah bermesyuarat untuk kali pertama dan Kerajaan PH komited untuk terus menjaga kebajikan Veteran Tentera Malaysia.

"Melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran, kita meneruskan bantuan sedia ada dan telah merancang strategi terbaik untuk kesejahteraan veteran. Saya boleh menerima kritikan tetapi saya tidak boleh menerima fitnah!," katanya.