Pekerja kargo antara lima lelaki ahli sindiket air ketum

Iklan
Anbalagan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 1,800 bungkusan air ketum yang dirampas.

BALIK PULAU- Pekerja kargo antara lima lelaki yang ditahan dipercayai terlibat sindiket memproses air ketum selepas polis memeriksa sebuah kediaman di Taman Iping, Batu Maung, Bayan Lepas dalam Ops Covid-19, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kelima-lima lelaki berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun itu didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di luar rumah kira-kira jam 1 pagi semalam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, menyedari kehadiran Unit Kereta Peronda (MPV) polis, kesemua lelaki tersebut melarikan diri masuk ke rumah teres dua tingkat tersebut sebelum mendapati mereka gagal memberi alasan berkumpul di hadapan kediaman tersebut.

"Susulan itu, kita membuat pemeriksaan dalam rumah dan menjumpai 1,800 bungkus air ketum dengan isipadu keseluruhan 900,000 milimeter yang sudah siap dibungkus dipercayai untuk dijual.

"Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau yang mana dua daripada mereka bekerja sebagai pekerja kargo, seorang penarik kereta manakala yang lain tidak bekerja.

"Beberapa peralatan memproses air ketum turut ditemui antaranya lapan tong ais; lima tong gas, empat buah dapur gas dan dua buah periuk aluminium membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM9,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.

Iklan
Polis turut merampas beberapa peralatan memproses air ketum.

Tambah Anbalagan, sindiket tersebut mampu meraih pendapatan RM25,000 dengan menghasilkan 5,000 bungkus air ketum dalam seminggu.

"Mereka dipercayai mampu memproses kira-kira 1,800 bungkusan setiap kali memasaknya. Bekalan air ketum ini untuk pasaran sekitar Bayan Baru serta Bayan Lepas. Menurut mereka, permintaan pelanggan bertambah dalam tempoh PKP ini.

Iklan

"Air ketum ini dijual RM5 setiap bungkus dan mereka mampu meraih sehingga puluhan ribu ringgit dalam seminggu. Siasatan mendapati, sindiket ini mendapat bekalan daun ketum dari Kedah. Mereka kemudiannya memproses di rumah yang disewa oleh ketua sindiket tersebut tiga kali seminggu sejak dua bulan lalu," katanya.

Tambahnya, kelima-lima lelaki tersebut yang menerima upah RM100 sehari mempunyai peranan masing-masing antaranya memasak, membungkus dan penghantar.

"Ada juga pelanggan datang sendiri ke rumah tersebut untuk mengambil bekalan secara pukal.

"Mereka akan memasak air ketum itu pada sebelah petang hingga malam. Ketika serbuan, mereka baharu selesai membungkus (air ketum) dan dipercayai sedang menunggu pelanggan," katanya.

Kesemua tangkapan direman empat hari untuk siasatan lanjut.