DELHI - Seorang ibu muda terlalu lapar hingga tidak berdaya menyusu bayinya berusia dua minggu semasa perintah berkurung dilaksana di Delhi, India.
Kisah Mehak, 22, bersama anak perempuan dan suaminya tular di laman sosial hingga menarik perhatian pihak berkaitan, lapor Hindustan Times.
Keadaan mereka sangat daif, tiada bekalan makanan namun penderitaan mereka berakhir apabila dibantu oleh Suparna Banerjee setelah menonton video keluarga itu di laman sosial.
Kata Banerjee, kisah itu sungguh menyentuh hatinya kerana melihat Mehak menangis di samping anaknya.
"Saya telah menghulurkan bantuan berupa makanan berkhasiat untuk ibu baru bersalin, lampin pakai buang dan barang keperluan lain.
"Penyampaian bantuan itu disampaikan oleh konstabel Sanjay Kumar bagi mewakili saya," katanya.
Banerjee merupakan usahawan sempat berbual menerusi telefon dengan Mahek.
"Saya berterima kasih kepada polis Delhi atas kebaikan mereka dengan rela hati bantu saya.
"Saya difahamkan mereka (polis) juga membantu dengan sekurang-kurangnya 20,000 pek makanan setiap hari termasuk topeng muka diagihkan kepada penduduk," katanya.