SEREMBAN - Kerajaan berjaya mengekang lambakan hasil pertanian melalui rangkaian pemasaran yang berkesan dalam memasarkan produk berasaskan pertanian di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, pihaknya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah membantu 1,120 petani dengan nilai pembelian sebanyak RM6.85 juta.
Katanya, seramai 1,420 usahawan di bawah seliaan Fama terlibat dalam memastikan bekalan makanan sampai kepada 600,000 pengguna yang turut menggunakan kaedah 38,091 perkhidmatan secara penghantaran.
"Isu lambakan hasil pertanian yang berlaku bagi kes-kes lalu hanya kes terpencil, dan kita juga sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu semua petani agar nasib pekebun kita terbela.
"Oleh sebab itu, kementerian melalui Fama telah membuka sebanyak 45 outlet di seluruh negara, termasuk Pasar Segar Terkawal (PST) bagi membantu petani memasarkan produk mereka dengan lebih baik.
"Selain PST, sebanyak 321 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), 115 Agrobazaar Rakyat (ABR) turut beroperasi di seluruh negara dan berjaya menjana jualan sebanyak RM43 juta,"katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Segar Terkawal (PST) di Pusat Operasi Fama Seremban, Jalan Labu dekat sini, hari ini.
Tambahnya, seramai 490 usahawan terlibat dalam pengoperasian PST, yang menghasilkan nilai jualan sebanyak RM 22.9 juta, sejak tempoh 1 hingga 19 April 2020.
Katanya, pengguna tidak perlu bimbang mengenai bekalan makanan sepanjang tempoh PKP, berikutan pihaknya sudah memastikan bekalan makanan tidak terputus dengan penyediaan banyak outlet Fama yang akan memasarkan hasil pertanian negara dengan lebih berkesan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga bekalan mentah yang dijual di pasaran Fama, beliau memaklumkan, berpuas hati dengan tawaran harga yang dikenakan peniaga, malah terdapat harga yang lebih rendah berbanding dari pasaran luar.