Nak dapat 10 sen pun susah!

Iklan
Mansor (kiri) membersihkan roda becanya sementara menunggu sekiranya ada yang mahu menggunakan perkhdimatannya.

KOTA BHARU- 'Usahkan RM1, nak dapat 10 sen pun susah dalam sehari," antara luahan pilu pengayuh beca di sekitar Kota Bharu.

Pengerusi Persatuan Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa berkata, pendapatan harian pengayuh beca di daerah itu yang selama ini tidak menentu makin bertambah merisaukan memandangkan situasi sekarang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Kudrat menggatih beca roda tiga mahupun beca elektrik tidak lagi memberi pulangan. Masalah ini bukan dialami sepanjang PKP sahaja, sebelum ini pun kami sudah jarang mendapat penumpang.

"Bila tidak ada orang naik, macam mana kami nak dapat duit? katanya memulakan bicara kepada Sinar Harian.

Menurut Che Udi, berdasarkan pemerhatiannya orang ramai sudah jarang menggunakan beca berkemungkinan akibat takut menggunakan perkhidmatan itu memandangkan terdapatnya penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Iklan

Dia yang menjadi pengayuh beca hampir 49 tahun itu berkata, bayangkan terdapat seramai 25 warga emas yang masih aktif mencari duit poket dengan melakukan pekerjaan itu dan berdaftar dengan persatuan.

"Dalam keadaan sekarang ini, kami mengharapkan bantuan daripada pihak berkaitan. Kami bergantung dengan sumbangan orang. Ada yang menghulurkan beras dan barangan keperluan lain,” katanya.

Iklan

Seorang lagi pengayuh beca, Mansor Saadan, 68 berkata, dia mengakui pendapatan sebagai pengayuh beca sebelum ini sememangnya tidak menentu tetapi tidak begitu sukar seperti dialami mereka, hari ini.

"Sebelum PKP, pak cik masih boleh dapat RM15 hingga RM20 sehari, tetapi sekarang ni nak dapat 10 sen pun payah. Walaupun tidak ada pelanggan yang naik, pak cik tetap keluar mengayuh beca pada hari-hari tertentu. Mana tahu ada rezeki, tetapi nampaknya kami keluar ibarat ‘duduk cokoh saja’ (duduk sahaja) di bandar, ” katanya.

Luah warga emas itu lagi, dia bernasib baik kerana ada anak-anaknya yang membantu kehidupannya serba sedikit tetapi mereka masing-masing sudah mempunyai tanggungan sendiri.

"Pakcik harap ada pihak yang dapat 'bertanya khabar'," katanya.

Menurut Mansor, sebelum ini Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan juga membantu nasib kumpulan seperti mereka.

Bagi Kamarazaman Salleh, 69 pula, dia terpaksa berjimat-cermat berbelanja dengan duit upah sepanjang 30 tahun menjadi pengayuh dan selebihnya bergantung kepada Bantuan Prihatin Nasional.

"Masa PKP ini pak cik tidak keluar langsung. Tidak ada siapa yang nak naik beca. Kalau dahulu rasa lega sedikit, biarpun keluar jam 7 pagi dan balik jam 12.30 tengah hari sebab masih ada pelanggan,” katanya.