SHAH ALAM - Kadar zakat fitrah ditetapkan untuk umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7, iaitu kadar sama sebagaimana tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, pengekalan kadar tersebut selaras dengan ketetapan dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
"Penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor," katanya pada sidang akhbar khas LZS hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan golongan berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.
Katanya, ia secara tidak langsung, memberi peluang kepada umat Islam untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.
"Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah," katanya.
Menurutnya, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak 2018 lagi.
"Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta kegawatan ekonomi ketika ini, ramai umat Islam yang hilang punca pendapatan dan mungkin termasuk dalam golongan yang tidak berkemampuan.
"Walaupun kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tetap wajib ditunaikan oleh seorang Muslim untuk diri dan keluarga atau tanggungannya, namun bagi individu yang kemampuan ekonominya terbatas ketika ini, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mengikut kemampuan diri dan keluarga," katanya.
Menurutnya, takrifan kemampuan yang merupakan salah satu syarat wajib zakat fitrah merujuk kepada mempunyai lebihan makanan (atau hartanya) selepas ditolak keperluan makanan serta keperluan asasi yang lain untuk dirinya dan tanggungannya untuk malam satu Syawal dan juga siangnya.
"Sekiranya lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk menunaikan zakat fitrah sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya, maka hendaklah dikeluarkan zakat fitrah sekadar sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya itu," katanya.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, LZS menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk membayar zakat fitrah dan juga harta melalui pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.
"Kaedah ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat, bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan," katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara dalam talian.
"Antaranya EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.
"Orang ramai juga boleh melayari portal MyEg, Pos Online dan pembayaran aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost," katanya.
Jelasnya, LZS turut meletakkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus ke platform pembayaran dalam talian EZakatPay, selain turut menyediakan kemudahan pembayarah fidyah melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my.
"Bagi tujuan semakan dan mencetak penyata bayaran zakat yang telah dilakukan, pembayar zakat boleh layari https://ezo.zakatselangor.com.my," katanya.