Lelaki menyesal tuduh kerajaan negeri di Facebook

Iklan
Muhammad Nazreen (dua kiri) membuat permohonan maaf berikutan kenyatannya di media sosial yang mempertikaikan tindakan kerajaan dalam pengagihan penutup muka dan hidung.

KOTA BHARU - Seorang lelaki hari ini memohon maaf kepada kerajaan Kelantan dan semua penghulu di negeri ini kerana membuat tuduhan berlaku penipuan pembahagian topeng muka dan hidung di media sosial.

Muhammad Nazreen Che Rosli dari DUN Salor itu melalui Facebooknya kelmarin mempersoalkan tiga topeng muka yang diterima sedangkan pengumuman kerajaan setiap rumah menerima empat keping.

Iklan
Iklan

Perkara tersebut tular di media sosial dan seorang Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Tumpat, Roshdi Ramli membuat laporan pada 15 April lalu di Balai Polis Tumpat kerana menjejaskan nama baik penghulu dan kerajaan.

Muhammad Nazreen Che Rosli semalam mengadakan pertemuan selama lebih setengah jam di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saiful Adli Abu Bakar dan Roshdi.

Iklan

Muhammad Nazreen berkata, dia memberanikan diri untuk membuat permohonan maaf selepas menyedari perbuatan itu salah kerana membuat tuduhan tanpa asas.

"Saya minta maaf, saya mengaku salah dan saya benar-benar kesal dengan apa yang saya buat.

Iklan

"Saya harap belia dan netizen mengambil iktibar. Jangan sebarkan atau kongsi sebarang maklumat tidak pasti atau jangan sesekali menggunakan media sosial untuk perkara yang salah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Saiful Adli berkata, berdasarkan notis Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pihaknya menerima bantuan topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara dan perlu membuat pembungkusan semula antara tiga atau empat keping untuk setiap isi rumah.

"Saya bangga dengan tindakannya kerana berani tampil bersemuka dan mengakui kesalahannya. Harap perkara ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Wan Hamat turut menasihatkan belia di negeri ini tidak menggunakan media sosial bagi meluahkan ketidakpuasan hati apatah lagi berkongsi perkara yang belum tentu kebenarannya.

"Lebih baik kita sama-sama memanfaatkan teknologi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan perkara berfaedah.

"Contohnya jualan secara dalam talian atau berkongsi perkara positif bagi membantu menaikkan semangat masyarakat,” katanya.