KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri atau M-Ten bagi membantu memulihkan pembangunan ekonomi negeri pasca koronavirus (Covid-19)
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia selari dengan saranan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan menyifatkan penubuhan M-Ten tepat pada waktunya.
Pihaknya juga menaruh keyakinan tinggi terhadap penubuhan tersebut yang turut dianggotai tokoh ekonomi berkaliber seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar.
"Kita yakin adanya barisan tokoh-tokoh ekonomi yang dipilih dapat membantu kerajaan Pahang bukan sahaja memulihkan ekonomi tetapi mampu melonjakkan pembangunan ekonomi di Pahang ke tahap yang lebih tinggi dan maju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pasukan perubatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya yang bertugas tanpa mengenal erti penat dan lelah menghadapi Covid-19.
Beliau berkata, walaupun kes Covid-19 di Malaysia mula menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, namun perang melawan Covid-19 perlu diteruskan.
"Kita jangan cepat leka dan mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jadi, saya menyeru seluruh rakyat Pahang agar terus patuh kepada PKP. Kita perlu terus berada di rumah, kekalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan mengamalkan kebersihan diri.
"Pendekatan ini amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19," katanya.