KUALA LUMPUR - Tiga lagi saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding bela diri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dalam kebakaran menyayat hati hampir tiga tahun lalu.
Perbicaraan kes itu dijadualkan bersambung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tetapi ditangguhkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu Bernama, mahkamah menetapkan 14 Mei untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu.
Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu yang kini berumur 19 tahun memberitahu bahawa anak guamnya telah selesai memberi keterangannya.
"Pihak pembelaan akan memanggil tiga lagi saksi. Saksi pembelaan semuanya adalah empat orang,” katanya.
Remaja itu memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada 2 dan 3 Mac lalu.
Pada 28 Januari lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan tersebut, manakala rakannya yang juga berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan sama.
Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini di antara jam 4.15 pagi dengan 6.45 pagi pada 14 September 2017.
Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.
Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku kira-kira jam 5.15 pagi itu menyebabkan seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz tersebut. - Bernama