SHAH ALAM - Pemilik rumah digesa menggunakan budi bicara dan sifat ihsan terhadap penyewa dengan membantu mereka sama ada mengurangkan atau menangguhkan pembayaran sewa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), susulan penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada kalangan penyewa mengenai tekanan dikenakan pemilik rumah untuk melunaskan sewa bulanan walaupun kerajaan mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman perumahan oleh bank.
Iklan
Iklan
"Situasi ini sudah tentu amat dikesalkan lantaran terhakisnya sifat keihsanan dan timbang rasa sedangkan semua maklum ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang PKP ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO bimbang sekiranya situasi itu gagal dibendung, ramai keluarga kehilangan kediaman atau tempat berteduh lantaran sikap rakus sebilangan pemilik rumah yang hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata.
Menurutnya, perkara itu juga memerlukan campur tangan kerajaan dengan memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang memelihara hak kedua-dua pihak sebagaimana dilakukan banyak negara ketika ini.
"Campur tangan kerajaan diperlukan segera agar permasalahan ini dapat diselesaikan," katanya.
Artikel Berkaitan