Rakyat Malaysia bekerja di Singapura waspada

Iklan
Asrama pekerja asing di Cochrane Lodge 2, Singapura yang dijadikan sebagai kawasan pengasingan untuk membendung penularan Covid-19.

JOHOR BAHRU - Peningkatan kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) secara mendadak di Singapura kepada 8,015 setakat hari ini membimbangkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan penambahan kes Covid-19 di negara itu berpunca daripada kluster asrama tempat tinggal pekerja asing terutamanya membabitkan mereka dari Asia Selatan termasuk Bangladesh, Nepal dan India.

Iklan
Iklan

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sektor pengangkutan awam di Singapura yang mahu dikenali sebagai Mohammad, 39, berkata, rata-rata rakyat negara ini risau dan bimbang terhadap peningkatan wabak berkenaan.

"Saya mengambil keputusan untuk terus bekerja sejak 18 Mac lalu selepas kerajaan Malaysia umum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ramai rakyat kita berada di hotel-hotel di Singapura.

Iklan

"Tidak seperti penempatan asrama bagi pekerja asing yang lain seperti jangkitan merebak dengan cepat dekat sana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohammad berkata, dia sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membendung jangkitan Covid-19 seperti sentiasa memakai topeng penutup hidung dan mulut selain memeriksa kesihatan sebelum memulakan tugas sebagai pemandu bas.

Iklan

Sementara itu, salah seorang pekerja yang masih dikuarantin di sebuah hotel di negeri ini yang mahu dikenali sebagai Shah, 41, dia bersyukur selepas dia melepasi saringan dan disahkan negatif Covid-19.

Namun katanya, dia masih menjalani kuarantin selama 14 hari bermula 9 April lalu selepas pulang dari Singapura.

"Saya bekerja dalam bahagian kimpalan di kawasan binaan di Singapura, ketika Covid-19 pada mula kami masih beroperasi namun selepas kerajaan Singapura tidak benarkan... jadi kami ramai-ramai ambil keputusan untuk balik ke Johor pada 8 April lalu.

"Saya pun risau la untuk tinggal di sana memandangkan Singapura itu kecil jadi terus balik dan dikuarantin sehingga 23 April ini, mahu tak mahu kena ikut arahan untuk elak daripada jangkitan," katanya.

Ketika ini difahamkan tidak kurang daripada 20 asrama menempatkan pekerja asing terbabit dengan jangkitan Covid-19 dengan 12 telah diwartakan sebagai kes isolasi.

Singapura mencatatkan 11 kematian akibat jangkitan Covid-19 selain 8,015 kes positif dan 768 kes sembuh.