Bukan pesta Songkran

Iklan
Sambutan Thingyan oleh masyarakat Myanmar berbeza dengan sambutan Songkran oleh masyarakat Siam. (Gambar hiasan - Foto 123RF)

ALOR SETAR - Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia tampil menjelaskan bahawa tiada sebarang sambutan pesta Songkran dilakukan di negara ini, sebaliknya memberitahu pesta air disambut sekumpulan warga Myanmar yang ditahan baru-baru ini sebagai Thingyan.

Presidennya, Datuk Seri Boon Som Inong berkata, sambutan Thingyan oleh masyarakat Myanmar disambut pada 17 April lalu itu berbeza dengan sambutan pesta Songkran oleh masyarakat Siam yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Iklan
Iklan

"Saya berharap penerangan ini akan menjelaskan kedudukan sebenar pesta Songkran dan kekeliruan mengenainya serta perbezaan dengan sambutan yang dibuat oleh masyarakat Myanmar," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 62 lelaki Myanmar ditahan selepas disyaki terlibat dengan penganjuran pesta air di pekarangan sebuah asrama pekerja di Bandar Baru Salak Tinggi.

Iklan

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mereka ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dalam serbuan kira-kira jam 2 petang hasil siasatan dan kerjasama pengurusan kilang.

Terdahulu, video memaparkan tindakan sekumpulan pekerja Myanmar meraikan pesta air itu tular di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan salah faham beberapa pihak yang menganggapnya sebagai pesta Songkran.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: 62 lelaki Myanmar disyaki terlibat pesta air ditahan

41 warga Myanmar sertai pesta air didenda RM1,000

Sementara itu, Boon Som Inong berkata, masyarakat berketurunan Siam di negara ini patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak mengadakan sambutan perayaan berkenaan.

Menurutnya, ia juga selari dengan keputusan kerajaan Thailand sebelum untuk tidak mengadakan sambutan pesta Songkran dan lain-lain keraian berkaitan dengannya untuk mengelak perhimpunan orang ramai dan mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Kami sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan dan teguh bersama-sama kerajaan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19," katanya.

Pada masa sama katanya, insiden tersebut memberi pengajaran betapa pentingnya kepada semua pihak untuk sentiasa meningkatkan kefahaman mengenai budaya dan amalan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara dan di rantau ini.

"Ini penting untuk kita mengelakkan timbulnya salah faham serta penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenainya," katanya.