PUTRAJAYA - Orang ramai boleh melaksanakan penilaian kesihatan kendiri dari semasa ke semasa menerusi aplikasi percuma MySejahtera yang dilancarkan kerajaan hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, aplikasi itu yang dibangunkan bagi membantu dalam pengawasan penularan koronavirus (Covid-19) turut memberi panduan kepada individu sekiranya mereka diklasifikasikan sebagai berisiko dijangkiti wabak tersebut.
"Aplikasi ini adalah setanding teknologi yang digunakan di negara-negara maju. MySejahtera telah diuji menerusi projek rintis yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Malaysia.
"Dapatan daripada beberapa projek rintis itu amat memberangsangkan dan dengan itu mendorong kita untuk memperluaskannya ke seluruh negara,” katanya semasa berucap pada majlis prapelancaran aplikasi MySejahtera di sini hari ini.
Menerusi aplikasi itu juga, orang ramai boleh mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai perkembangan Covid-19 di Malaysia, ASEAN dan dunia.
Justeru, Dr Adham berharap MySejahtera dapat membantu masyarakat agar lebih prihatin kepada situasi semasa dan meningkatkan tahap kepekaan menjaga diri sendiri ketika dilanda Covid-19 seterusnya memperkukuhkan keupayaan tadbir urus kerajaan, khususnya kementerian, dalam merangka strategi menangani penularan wabak itu.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MySejatera menerusi Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
MySejahtera dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - Bernama