PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri bertaraf menteri ke China.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, King Sing adalah Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
"Beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur pada 2014 hingga 2018.
"Beliau akan berperanan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Pelantikan Duta Khas Perdana Menteri itu adalah yang kedua setakat ini sejak Perikatan Nasional (PN) memerintah negara.
Sebelum ini, Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri bertaraf menteri ke Timur Tengah pada 2 April lalu.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Abdul Hadi dilantik duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah
Abdul Hadi yang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia juga pernah tersenarai sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016.
Antara yang pernah dilantik memegang jawatan tersebut ialah Tun S Samy Vellu sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke India dan Asia Selatan serta Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Duta Besar ke Indonesia).
Selain itu, turut dilantik, Tan Sri Bernard Giluk Dompok (Duta Besar ke Vatican City), Tan Sri Zulhasnan Rafique (Duta ke Amerika Syarikat) dan Datuk Seri Hassan Malek (Duta ke Kemboja).
Kedutaan Malaysia di Timur Tengah terdiri daripada Azerbaijan, Bahrain, Iran, Jordan, Kuwait, Lebanon, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Arab Saudi dan Turki.