LIPIS -"Saya dah tak tahan nak pendam jadi hari itu saya suarakan apa yang terbuku,.
Itu reaksi seorang nenek yang juga pemilik sebuah kedai runcit di Felda Sungai Koyan 1,Rahana Hassan, 76 yang tular selepas klip rakaman video berdurasi tiga minit 15 saat tersebar di laman sosial.
Dalam rakaman tersebut, Rahana dilihat lantang dan 'menyekolahkan' calon DAP, M Manogaran, Isnin ini lalu ketika Timbalan Pengerusi DAP Pahang itu berkempen dan singgah di kedai runcit miliknya.
Ketika ditemui, Rahana mengakui menerima banyak panggilan telefon daripada pelbagai pihak.
Namun ibu kepada empat orang anak, 15 cucu dan tiga cicit itu mengakui ada juga terdengar dan membaca komen netizen yang menyifatkan tindakan dirinya sedikit kurang ajar.
Jelasnya kehadiran Manogaran bersama jentera kempen PH ke kedai diusahakan di Felda Sungai Koyan 1 sejak tahun 1975 itu agak mengejutkan dirinya.
Ujarnya rakaman video tersebar di media sosial adalah luahan mengenai realiti yang dihadapi peneroka Felda sejak sekian lama selain pembangunan tidak seimbang di kawasan bandar dan luar bandar.
"Apa yang makcik cakap (dalam rakaman video) adalah realiti... makcik tidak takut, itu yang sebenarnya berlaku di sini dan sejak makcik berniaga sampai sekarang, kerajaan tidak bagi apa-apa bantuan pun.
"Apabila dia (Manogaran) dan jentera (kempen) datang untuk berkempen, makcik terkejut kerana selama ini tidak pernah nampak mereka di sini... sebab itu makcik cakap, tidak kisahlah siapa kerajaan, kenalah bantu dan bukan cakap (janji) saja"katanya lagi.
Dalam pada itu, Rahana tidak gentar berdepan sebarang tindakan kerana dia bercakap realiti sebenar yang berlaku di negara ini.
"Kalau makcik tak berani cakap esok masa depan anak cucu kita macam mana? Makcik tak takut, kalau kata salah nak ambil tindakan,ambil la.
"Sebelum ini mereka (calon-calon) Tidak pernah datang tetapi bila hendak mengundi baru datang.
"Setakat cakap (janji), semua orang boleh... sebab itu makcik cakap, eloklah kita sediakan (surat) peguam untuk pastikan mereka tepati janji yang dibuat ketika berkempen... kalau tidak tunaikan (janji), pengundi boleh ambil tindakan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Rahana berharap pengundi di kawasan Felda terbabit dan Cameron Highlands menggunakan hak mereka sebaik mungkin ketika mengundi pada 26 Januari ini.
"Kalau boleh, biarlah kita buat keputusan selepas mengambil kira pelbagai aspek... bukannya menyokong secara membuta-tuli. Biar kita putih tulang dan jangan berputih mata demi pertahankan hak sebagai rakyat," katanya.
Sementara itu, cucu Rahana, Iqbal Hafizullah Ibrahim, 24, yang membantu di kedai runcit berkenaan berkata, neneknya itu memang sentiasa lantang bersuara jika ada benda yang tidak kena berlaku.
"Nenek bukan jenis suka berkias atau mengeluarkan kata sindiran semata-mata... kalau dia tidak sukakan sesuatu benda, dia terus cakap terus-terang... tidak ada nak simpan dalam hati, terus luah secara berdepan... kami sudah faham sangat," katanya.
Berdasarkan kandungan video berkenaan warga emas terbabit berhujah mengenai perniagaan diusahakan sendiri tanpa bantuan kerajaan sehingga Manogaran dilihat"terkedu" dalam rakaman tersebut.
"Siapa nak berniaga kena buat sendiri, mana ada kerajaan tolong. Macamana makcik kerja dulu, anak sekolah tak ada duit cari wang balik kampung.
"Patut kerajaan ini (bantu) berapa lama dah. Nak kata tak ada duit, simpan sorok-sorok, ada duit bawa lari sana sini... patut bangunkanlah negara,''katanya.
Dalam klip video tersebut juga Manogaran yang dilihat terkejut kemudian cuba menenangkan wanita berkenaan dengan memujinya kerana mengusahakan perniagaan itu tanpa mengharapkan bantuan.