Lelaki asah bakat memasak ketika PKP

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

MEMASAK cukup sinonim dengan golongan wanita, mana mungkin penulis mahu menidakkan masakan ibu yang pastinya menjadi hidangan yang ditunggu-tunggu tatkala berada di meja makan hatta hanya hidangan nasi goreng kosong untuk bersarapan pagi sekalipun.

Apatah lagi dalam bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Pastinya ‘air tangan ibu’ paling dirindukan buat mereka yang berjauhan dengan keluarga.

Iklan
Iklan

Begitupun, bukan itu yang penulis ingin utarakan ketika rakyat Malaysia perlu patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Sebaliknya, apa yang ingin penulis sampaikan di sini ialah peranan ketua keluarga yang digalas oleh kaum Adam ketika ini, di mana rata-rata mereka mungkin tidak mengenali pelbagai jenis sayur-sayuran, rempah ratus dan juga ikan di pasar yang sebelum ini hanya di pandang enteng.

Iklan

Jika pada fasa awal PKP, mereka mungkin masih terkial-kial untuk memilih mana satu daun sup dan mana satu daun ketumbar atau membezakan ikan kembung dengan ikan selar, tetapi selepas PKP memasuki fasa ketiga, tugas membeli barangan keperluan harian bukan lagi menjadi sesuatu yang sukar buat mereka.

Malah, ada segelintir daripada mereka juga sudah mampu mengambil alih tugas golongan wanita untuk menyediakan hidangan buat keluarga masing-masing dan ini adalah antara sisi positif yang ingin diketengahkan ketika negara melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu.

Iklan

Apa yang penulis cuba sampaikan di sini bukanlah retorik semata-mata dan tiada niat untuk menidakkan kepakaran kaum Hawa di dapur atau memuji golongan lelaki, tetapi jika kita lihat di media-media sosial seperti di Facebook, Instagram dan juga Twitter terbukti kebolehan serta kemampuan mereka dalam menyediakan masakan amat mengagumkan.

Bermula dengan memasak makanan yang asas dengan bantuan isteri mahupun sekadar berpandukan resipi-resipi di media sosial bagi mereka yang bujang, mereka sememangnya telah membuktikan bahwa lelaki juga mampu mengasah bakat terpendam sehingga ada yang sudah pandai masak gulai, membuat kuih dan sebagainya.

Tidak kurang juga ada yang menjadikannya sebagai punca pendapatan sampingan pada sepanjang tempoh PKP ini apabila masakan mereka ‘menjadi’ dan ada permintaan daripada rakan-rakan terdekat, lebih-lebih lagi agak sukar untuk mendapatkan makanan yang memenuhi selera kita di luar sana ketika ini.

Kalau adapun hanyalah restoran-restoran mamak ataupun rangkaian makanan segera, tetapi sampai bila tekak kita mampu menjamah makanan yang sama setiap hari dan pastinya makanan yang dimasak sendiri sahaja yang mampu membuatkan kita sendawa kekenyangan.

Justeru, pesanan buat golongan lelaki sama-samalah kita memanfaatkan tempoh PKP ini dengan sebaik mungkin bukan sekadar hanya duduk di rumah tunggu hidangan di meja makan yang dimasak oleh ibu, isteri atau kakak, sebaliknya meringankan tugasan seharian mereka dengan turut masuk ke dapur membantu apa yang perlu.

Bagi mereka yang sudah berjaya memasak dan menyediakan hidangan buat keluarga, penulis ucapkan syabas kerana memasak bukan sesuatu yang mudah. Sekiranya masakan itu ‘menjadi’ dan sedap pastinya kita turut berbangga dengan hasil air tangan kita sendiri tetapi jika sebaliknya usah berputus asas kerana dalam masakan sentiasa ada ruang untuk ditambah baik dengan serbuk perasa ataupun paste segera yang berada di pasaran untuk dicuba.

Bahkan penulis sendiri yang ada basic dalam bidang masakan sekalipun adakalanya apa yang dimasak itu tidak menjadi dan berakhir di perut tong sampah. Apa yang pasti, kaum Adam perlu mengambil kesempatan ini untuk mempelajari dan menambah baik kemahiran yang ada bukan untuk menyaingi golongan wanita sebaliknya saling melengkapi antara satu sama lain.

Jadi manfaatkanlah tempoh pelaksanaan PKP ini dengan perkara-perkara yang berfaedah dan mempelajari bidang masakan bukanlah sesuatu yang merugikan kerana mungkin ‘air tangan’ kita mampu menggembirakan perut orang lain.

* Zubir Sulaiman ialah wartawan Sinar Harian Edisi Nasional