Duit lesap, sijil kelahiran palsu

Iklan
Zainal (kiri) merayu agar ibu kandung Hanani (dua, kiri) tampil bantu melengkapkan urusan dokumen anak angkat.

PONTIAN - Tidak tahu prosedur pendaftaran anak angkat, menyebabkan seorang pekebun di Kampung Sungai Nyiur, Pulai Sebatang, di sini, ditipu sebanyak dua kali oleh individu yang mendakwa kononnya mampu mendapatkan sijil kelahiran warganegara Malaysia.

Zainal Mohamed, 57, berkata, dia mengalami kerugian RM1,600 kira-kira lima tahun lalu, selepas individu yang datang ke rumahnya menyerahkan sijil kelahiran palsu untuk anak angkatnya yang kini berusia 17 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anak angkat Nur Hanani Abdullah, 17, yang mesra dipanggil Hanani sudah dijaga sejak berusia dua tahun selepas diserahkan ibunya yang kini dipercayai menghilangkan diri.

"Sebetulnya pakcik tidak tahu cara untuk daftarkan Hanani sebagai anak angkat. Pakcik runsing fikirkan masa depan Hanani kerana dia tidak boleh bersekolah.

Iklan

"Bila ada orang datang ke rumah beritahu boleh tolong dapatkan sijil kelahiran warganegara, pakcik amat gembira. Tetapi rupanya pakcik ditipu, duit pula melayang,” katanya, semalam.

Jelasnya, disebabkan kekurangan ilmu dan tiada orang yang membantu, urusan permohonan bagi pendaftaran anak angkat dilakukan agak lewat iaitu ketika anak angkatnya sudah berusia 17 tahun.

Iklan

"Rupanya kena pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM). Itu pun Ketua Kampung yang bawa pakcik ke pejabat JKM di bandar Pontian,” katanya.

Justeru, Zainal amat berharap agar ibu kandung Hanani, yang dikenali sebagai Yanti tampil membantu bagi urusan pendaftaran anak angkatnya itu.

"Yanti serahkan Hanani untuk dijaga oleh kami sekeluarga sebab dia hendak berpindah.

"Kami sekeluarga terima Hanani dengan hati terbuka dan menjaganya seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga ada mencari Yanti menerusi kenalan lama wanita itu, namun buntu kerana masing-masing tidak mengetahui ke mana Yanti membawa diri.

Sementara itu, Hanani yang tidak banyak bercakap, berharap agar dokumen anak angkat milik dapat dilengkapkan.

Hanani kini hanya mampu bekerja di sebuah kedai makan berhampiran rumah.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung Hanani boleh tampil ke pejabat JKM daerah Pontian atau menghubungi Zainal di talian 019-2549764.