Pemilik tergamam kedai terbakar

Iklan
Operasi memadam dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan Amanjaya dibantu pasukan bomba sukarela.

SUNGAI PETANI - Pemilik kedai peralatan sukan tergamam melihat kelengkapan yang baharu dimasukkan ke kedainya di Jalan Ibrahim di sini hangus dalam kebakaran kira-kira jam 10.44 malam, kelmarin.

Dia yang ditemui di lokasi kejadian, enggan mengulas lanjut dan hanya memberi isyarat tidak mahu memberikan sebarang respons dan sebak melihat kebakaran berlaku.

Iklan
Iklan

Difahamkan, beberapa penambahan stok baru sahaja dilakukan termasuk peralatan permainan sukan, kasut sukan dan alatan lain bagi memenuhi permintaan sekolah yang memulakan persekolahan di kawasan sekitar.

Komander Operasi, Ketua Zon 2, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Mazukhi Shaffie berkata, api dipercayai bermula di tingkat atas bangunan berkenaan sebelum merebak ke bahagian kedai terbabit.

Iklan

Menurutnya, kebakaran melibatkan satu unit rumah kedai dua tingkat dan menjejaskan sebahagian kecil dinding pemisah kedai bersebelahan yang merupakan sebuah kedai menjual barangan kemas.

"Setibanya di lokasi, kita dapati kebakaran meliputi 70 peratus kedai peralatan sukan terbabit, namun api berjaya dikawal serta tidak merebak ke kedai lain, hanya dinding pemisah dengan kedai emas sebelah sahaja terjejas,” katanya.

Iklan

Menurut Mohd Mazukhi, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.44 malam dan tiba ke lokasi seminit kemudian.

"Operasi memadam kebakaran melibatkan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Amanjaya serta dua pegawai forensik bomba dari Pejabat Zon 2.

"Operasi turut dibantu 13 pasukan bomba sukarela membabitkan anggota seramai 102 orang termasuk dua pasukan dari Pulau Pinang,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut mendapat kerjasama 30 anggota Polis Diraja Malaysia yang diketuai Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah bagi mengawal keselamatan, lalulintas dan memantau sekiranya berlaku perlakuan jenayah.

Mohd Mazukhi berkata, punca dan kerugian masih dalam siasatan.