Covid-19: Malaysia, Singapura perlu bertindak

Iklan
Bilangan kes Covid-19 di Singapura semalam menunjukkan peningkatan mendadak melepasi Indonesia. - Foto AFP

SHAH ALAM - Bilangan kes koronavirus (Covid-19) di Singapura semalam menunjukkan peningkatan mendadak melepasi Indonesia, sekali gus muncul sebagai negara paling terjejas di Asia Tenggara akibat wabak itu.

Perkara ini pastinya mewujudkan kebimbangan berlakunya ‘kes import’ dari Singapura kerana ia turut melibatkan rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerja, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, apa yang membimbangkan terdapat 92 rakyat Malaysia turut dijangkiti di republik itu.

"Ini tidak menghairankan kerana sejumlah besar tenaga kerja di Singapura berasal dari Malaysia dan jangkitan dipercayai berpunca dari asrama penginapan pekerja serta kalangan pekerja di tempat kerja akibat kedekatan fizikal.

Iklan

"Jumlah itu dijangka terus meningkat dengan mendadak khususnya dalam kalangan pekerja asing akibat tindakan drastik pemerintah Singapura melakukan penyaringan secara aktif bagi mengekang wabak itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Jumlah kes Covid-19 di Asean dan kematian dikeluarkan WHO kelmarin.

Selain itu, Dr Haliza berkata, kes-kes jangkitan Covid-19 turut dilaporkan berlaku dalam kalangan penduduk tempatan di negara berkenaan.

Iklan

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Malaysia dan Singapura perlu mematuhi persetujuan yang dibuat kedua-dua negara yang tidak membenarkan pekerja asing pulang ke negara masing-masing sebelum saringan dilakukan agar wabak Covid-19 di Singapura tidak merebak ke negara ini.

Selain itu, Dr Haliza turut menggesa pihak berkuasa di kedua-dua negara terus memperketatkan kawalan di pintu masuk sempadan dengan menjalankan saringan kesihatan secara ketat di semua pintu masuk.

"Malaysia perlu menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari Singapura dan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke Singapura sehingga wabak reda dan pulih sepenuhnya selain meneruskan langkah mengadakan kuarantin ke atas semua pelawat yang masuk ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah pula berkata, jumlah kenaikan mendadak kes Covid-19 di negara jiran seperti Singapura, Filipina dan Indonesia amat membimbangkan Malaysia sebagai sebuah negara berjiran.

"Sudah tentu jika sempadan negara kita tidak dikawal dengan ketat, limpahan kes akan juga terkesan ke dalam negara kita.

"Seperti mana yang ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kerajaan telahpun mengadakan syarat-syarat kemasukan dan peraturan yang ketat di semua sempadan negara.

"Adalah diharapkan dengan ketegasan daripada pihak yang berwajib dalam menangani isu ini, ia dapat mengurangkan kegusaran kita sebagai orang awam,” katanya.

Dr Suhazeli berkata, tindakan kerajaan Malaysia melaksanakan saringan ujian pantas secara bersasaran adalah salah satu cara mengesan kes Covid-19 dengan lebih pantas.

"Ini memudahkan lagi proses saringan, isolasi, kuarantin dan rawatan,” katanya.