Rakyat AS ‘kerasukan’ mahu bebas

Iklan
Tanpa mempedulikan bahaya Covid-19, ribuan rakyat AS sejak minggu lalu keluar ke jalanan menggesa arahan lockdown ditarik balik.

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) sehingga kini masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Sebaliknya ia terus menitipkan kebimbangan dengan lebih dua juta kes sudah direkodkan di seluruh dunia.

Penularan Covid-19 bukan sahaja meragut nyawa, malah menyekat kebebasan warga dunia dalam menjalani rutin kehidupan seharian seperti keluar bekerja, pergi ke sekolah mahupun beriadah di taman.

Iklan
Iklan

Kemuncak kepada semua ini adalah apabila banyak negara terpaksa melaksanakan perintah lockdown dan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan virus maut tersebut.

Di China, misalnya, perintah lockdown yang dilaksanakan dengan penuh kepatuhan oleh rakyatnya ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menurunkan jumlah kes jangkitan Covid-19. China berjaya mencapai lekukan rata graf dalam tempoh 76 hari.

Iklan

Namun peliknya, ketika kita berfikir rakyat negara maju mungkin tinggi tahap dan tingkat kesedarannya terhadap Covid-19, lain pula kisahnya di AS.

Sejak Jumaat lalu, ribuan rakyat negara Uncle Sam seolah-olah kerasukan apabila sanggup keluar memenuhi jalan raya tanpa mempedulikan virus halimunan Covid-19.

Iklan

Ironinya, AS merupakan negara yang paling tinggi kes positif wabak itu melebihi 700,000 kes dengan lebih 40,000 mangsa maut.

Angka tersebut amat menggerunkan, namun dengan slogan kononnya ‘keselamatan tanpa kebebasan dipanggil penjara’, ribuan rakyat AS bertindak memenuhi jalan raya di negara itu sambil membunyikan hon, mengibarkan bendera AS malah ada yang membawa plakad dengan wajah Presiden Donald Trump. Misi mereka adalah menuntut perintah lockdown ditarik balik.

Tanpa menghiraukan garis panduan keselamatan seperti penjarakan sosial, aksi mereka tidak ubah seperti sekumpulan zombie dalam filem.

Di Lansing, Michigan, misalnya, penunjuk perasaan berkereta dan berjalan kaki membantah arahan duduk di rumah yang dikeluarkan Gabenor Gretchen Whitmer dan menuntut pembukaan semula negeri itu,

"Kami bosan tidak dapat membeli barangan yang kami perlu dan pergi ke salon pendandan rambut. Ini masa untuk membuka kembali Michigan,” kata seorang penunjuk perasaan yang menyertai protes Operation Gridlock pada 15 April lalu.

Perintah duduk di rumah yang diumumkan Whitmer pada 24 Mac lalu sepatutnya tamat pada 13 April, namun dilanjutkan hingga 30 April ini dengan beberapa sekatan baharu diperkenalkan. Hal ini menjadikan Whitmer sebagai sasaran kemarahan penunjuk perasaan.

Selain Michigan, protes menuntut perintah duduk di rumah ditarik balik turut diadakan di Ohio, Minnesota, Utah, Virginia, Kentucky dan Washington.

Berlagak sebagai patriot, sebahagian besar penunjuk perasaan yang merupakan penyokong tegar Trump membawa raifal dan pistol. Mereka menyalahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana memporak-perandakan AS dan mendakwa kehilangan pekerjaan serta kejatuhan ekonomi disebabkan Covid-19.

Menurut Jabatan Buruh AS, sejumlah 5.2 juta pekerja memohon faedah pengangguran minggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan rakyat AS yang memfailkan kehilangan pekerjaan meningkat kepada 22 juta orang atau kira-kira 13.5 peratus daripada pasaran buruh. Ia merupakan rekod tertinggi sejak Jabatan Buruh merekod data tersebut pada tahun 1967.

Sementara itu, Trump yang sebelum ini dikecam teruk kerana lambat bertindak menangani krisis Covid-19 dilihat menyokong protes terhadap langkah lockdown di beberapa negeri AS itu malah menyifatkan langkah sekatan di Minnesota, Michigan dan Virginia sebagai terlalu ketat.

Kebanyakan 50 negeri di AS telah mengambil langkah membendung penularan virus menerusi penutupan perniagaan dan perintah duduk di rumah, namun dengan ketiadaan keseragaman perintah lockdown di peringkat kebangsaan.

Rakyat AS masih boleh bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dan berpotensi menyebarkan virus dari kawasan merah seperti New York ke kawasan berisiko rendah.

Langkah lockdown di seluruh negara adalah mustahil untuk dilaksanakan di AS kerana sistem federalisme di negara itu menyatakan kuasa untuk melaksanakan perintah berkaitan kesihatan awam seperti kuarantin besar-besaran terletak di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.

Namun, kerajaan Persekutuan masih mempunyai kuasa untuk mengurangkan penyebaran Covid-19 terutama di sempadan AS.

Liberalisme

Melihat kepada kerasukan segelintir rakyat AS ketika ini, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Muhammad Fuad Othman berpendapat, terdapat tiga faktor utama mengapa rakyat AS menolak perintah lockdown.

"Pertama, ia disebabkan nilai-nilai liberalisme yang menebal dalam kalangan rakyat AS itu sendiri.

"Rakyat AS lebih mementingkan kebebasan dan hak individu seperti kebebasan bersuara sehingga melampaui segala-galanya.

"Kebebasan itu adakalanya tanpa batas, namun apabila melibatkan hal seperti kesihatan, kerajaan seharusnya mengambil langkah lebih agresif,” kata Muhammad Fuad kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Muhammad Fuad lagi, meskipun tinggal di negara maju, tidak semua rakyat AS berilmu.

"Dalam kes ini, berkemungkinan mereka tidak mendapat maklumat tentang bahaya sebenar Covid-19 dan menganggap ia sebagai virus biasa.

"Ketiganya, faktor tekanan ekonomi. Perintah lockdown sudah pasti akan menyebabkan perniagaan terpaksa dihentikan dan aktiviti ekonomi terganggu, ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Muhammad Fuad menambah, sikap skeptikal dan sombong Presiden Trump dalam menangani krisis Covid-19 juga tidak boleh diketepikan.

"Seharusnya apabila melihat kes kematian yang semakin meningkat di Itali dan Sepanyol, Trump perlu mengarahkan rakyatnya agar mengambil langkah keselamatan seperti penjarakkan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan,” katanya sambil menambah mungkin Trump lebih memikirkan kepentingan sektor ekonomi berbanding kesihatan rakyatnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tindakan rakyat AS menolak pelaksanaan perintah berkurung sudah semestinya akan melumpuhkan negara itu.

"Penolakan perintah lockdown ini akan lebih memburukkan situasi semasa di AS selain menyebabkan penularan semakin meningkat berikutan perhimpunan besar-besaran yang diadakan.

"Situasi penolakan berlaku kerana rakyat AS sendiri tidak yakin dengan polisi kerajaan yang diketahui mendahulukan bayaran sebelum seseorang boleh dirawat.

"Selain itu, lockdown juga menyebabkan banyak sektor ditutup sekali gus menyukarkan golongan miskin terutamanya yang tidak mempunyai insurans bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.