YDKM bina 50 rumah untuk mangsa gempa bumi di Palu

Iklan
Kerja membina rumah sementara di Palu oleh YDKM sudah bermula.
SERI ISKANDAR - Sebanyak 50 buah rumah sementara bagi menempatkan mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia, bakal dibangunkan oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKM) bermula Rabu lalu.

Pengerusi YDKM Ahmad Umair Zulkefli berkata, pembinaan rumah berkenaan akan dibangunkan menerusi Misi Sukarelawan Palu, Indonesia dengan kos RM5,000 seunit.

"Bagi pembinaan ini YDKM memerlukan kos sebanyak RM250,000 namun jumlah tersebut belum mencukupi dan setakat ini yayasan berjaya mengumpul RM150,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

"Kami memerlukan RM100,000 lagi dan sumbangan dari orang ramai amat dihargai dalam membantu saudara-saudara Islam kita di sana mendapatkan penempatan sementara yang selesa daripada tinggal di bawah khemah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Salah seorang sukarelawan YDKM yang mengikuti misi sukarelawan pertama di Palu menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa, baru-baru ini.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Ahmad Umair berkata misi sukarelawan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Rumah Zakat Indonesia dan Komuniti Generasi Bermanfaat (Gema) Indonesia dan seramai enam ahli YDKM akan menyertai misi tersebut.

Menurut Ahad Uamir, ini kali pertama YDKM melakukan misi ke luar negara bagi membantu mangsa bencana selain telah mengadakan beberapa misi sukarelawan di dalam negara termasuk ketika bencana banjir di beberapa negeri sebelum ini.

"Kita akan memperbanyakkan lagi misi sukarelawan dalam usaha membantu masyarakat yang terlibat dalam bencana terutama golongan Muslim dan akan menjalankan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara,” katanya.

Ahmad Umair turut mengalu-alukan orang ramai khususnya generasi muda dari pelbagai kaum untuk menjadi ahli sukarelawan YDKM di mana sehingga kini yayasan berkenaan mempunyai seramai 300 ahli berdaftar dan 2,000 sukarelawan dari seluruh negara sejak ia ditubuhkan pada Mei 2014.

"Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan dan kita bukan sahaja mengadakan misi sukarelawan tetapi turut mengadakan program mentor dan motivasi bagi membentuk jati diri serta memperhalusi hala tuju anak muda,” katanya.

"Orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk pembinaan rumah sementara di Palu boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB bernama Food Hunger Organization bernombor 8602-59-5687.