Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Aleksander Ceferin menyifatkan aksi bola sepak yang dijalankan secara ‘tertutup’ (tanpa penonton) adalah jauh lebih baik daripada tidak beraksi langsung.
Ceferin berkata, aksi bola sepak sedemikian mampu membantu mengembalikan semula ‘kehidupan’ normal kepada penyokong bola sepak.
Malah menurutnya, saingan La Liga dan Ligue 1 telah pun mengambil langkah berkenaan (beraksi secara tertutup, tanpa kehadiran penonton) dan UEFA percaya perkara berkenaan wajar diteima.
"Keutamaan di sini adalah kesihatan penonton, pemain dan pihak pengurusan pasukan. Saya seorang yang optimis dengan alam dan percaya ada pilihan untuk kita mulakan dan menamatkan saingan.
"Mungkin kita perlu beraksi tanpa penonton, tapi apa yang penting di sini adalah untuk beraksi, bermain (bola sepak) dan dalam waktu yang sukar ini, ia akan mengembalikan kegembiraan apabila keadaan kembali ‘normal’ walaupun perlawanan itu hanya boleh disaksikan di kaca televisyen.
"Dalam keadaan saingan liga dan saingan trofi kejuaraan di sekitar Eropah ditangguhkan dan jutaan orang ‘terkandas’ di rumah masing-masing, adalah lebih baik jika perlawanan-perlawanan itu dapat dibawa ke kaca televisyen dengan kerjasama pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.
Untuk rekod, kelab La Liga telah diberikan kebenaran untuk kembali berlatih dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti penjarakan sosial dan sebagainya manakala bagi saingan Ligue 1 pula telah mengumumkan perancangan untuk kembali memulakan saingan liga pada pertengahan Jun depan.
Sementara itu Ceferin mengakui banyak halangan yang perlu dilalui dalam menjayakan hasrat berkenaan, namun semua pihak diharap dapat menerima hakikat bahawa keadaan tidak akan sama seperti sebelum ini.
Katanya, antara yang paling ketara adalah aksi perlawanan bola sepak yang berlangsung tanpa kehadiran penonton dan sekali gus menyaksikan suasana yang cukup aneh dan berbeza.
"Memang aneh untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan berprofil tinggi tanpa penonton, tetapi ia perlu dibiasakan kerana ia adalah jauh lebih baik daripada tidak beraksi langsung kerana bola sepak mampu membawa balik keceriaan ke rumah-rumah penyokong dan mereka berhak untuk mendapatkannya,
"Ada sukan yang buat keputusan untuk tamatkan musim saingan lebih awal, tetapi bukan UEFA walau pun ada yang mengaitkannya dengan aksi final Liga Juara-Juara dan Liga Europa yang bakal ditamatkan pengakhirannya.
"Tidak ada tarikh akhir untuk aksi final dan ia bergantung kepada bila kita akan mula beraksi semula. Namun terlalu awal untuk mengtakan kita tidak boleh lengkapkan saingan musim ini kerana bakal memberikan implikasi buruk kepada pasukan dan juga liga itu sendiri.
"Kita boleh tamatkan (liga), tetapi yang penting kita tetap kena hormati keputusan pihak berwajib dan tunggu kebenaran (untuk beraksi),” katanya.