ALOR SETAR - Kisah tular melibatkan 28 orang daripada sebuah keluarga tinggal di sebuah rumah usang di Lorong Gedebang, bukan kes baharu dan keluarga itu tidak dipinggirkan seperti didakwa.
Setiausaha Masjid Al-Irfan Derga, Yahya Saad berkata, kisah keluarga itu kembali tular sejak semalam selepas pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew melawat keluarga itu yang tinggal dalam kariah Masjid Al-Irfan Derga sehingga menimbulkan persoalan kononnya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk Masjid Al-Irfan Derga mengabaikan keluarga terbabit.
Menurutnya, kebajikan mereka tidak diabaikan, malah keluarga itu menerima bantuan bulanan daripada LZNK, JKM dan Masjid Al-Irfan Derga,
"Keluarga itu juga ditawarkan rumah asnaf yang lebih selesa oleh LZNK, namun ditolak atas alasan tertentu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Yahya berkata, keluarga terbabit sudah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama walaupun tapak rumah didiami itu bukan milik mereka.
"Ini menyukarkan LZNK dan pihak berkenaan untuk membina rumah bagi keluarga ini atas tanah tersebut," katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keluarga tersebut turut menerima bantuan bekalan makanan dari Masjid Al-Irfan Derga yang disampaikan menerusi bendahari masjid.
"Saya harap masyarakat terutamanya dari luar tidak sewenang-wenangnya membuat tohmahan bahawa keluarga ini diabaikan oleh pihak berwajib.
"Usaha Ustaz Ebit membantu mereka yang memerlukan merupakan usaha mulia dan terpuji. Diharap Ustaz Ebit dapat berhubung dengan pihak berwajib terlebih dahulu untuk dapatkan info sahih mengenai kes ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya akan bayarkan sewa selagi hidup: Ebit Lew
Pada Julai 2018, kes itu kembali tular di laman sosial setelah beberapa kali dibangkitkan sebelum itu.
Malah, Kerajaan Negeri Kedah turut menawarkan tempat tinggal kepada keluarga berkenaan untuk berpindah ke tempat lebih selesa.
Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Halimaton Shaadiah Saad ketika itu mengesahkan keluarga terbabit menerima bantuan zakat sebanyak RM600 sebulan.
Rumah daif itu didiami Ishak Darus, 77, bersama isterinya, Jamaliah Rejab, 58, selain 10 anak, seorang menantu dan 15 cucu kerana tidak mampu menyewa di tempat lain akibat kemiskinan.
Mereka terpaksa duduk berhimpit dalam rumah yang lantainya beralaskan tikar getah selain dinding kayu reput dimakan anai-anai, malah sebahagian bumbung zinknya turut berlubang.
Persekitaran dalam dan luar rumah pula dipenuhi pelbagai barangan dan agak terbiar.