BUKIT MERTAJAM - Kaedah pembayaran zakat fitrah melalui kaunter pandu lalu antara pendekatan diambil Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi memudahkan orang ramai di negeri ini menunaikan kewajipan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya kawasan yang luas seperti balai raya dan dewan serbaguna turut digunakan untuk membuat kutipan bayaran zakat sekiranya tempoh PKP dilanjutkan kelak.
Bagaimanapun, menurutnya, ia bergantung kepada pihak kariah masjid untuk mencari tempat yang sesuai bagi menjalankan aktiviti berkenaan selain perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebelum ia dilakukan.
Amran berkata, walaupun ZPP menggalakkan orang ramai membayar zakat melalui perbankan dalam talian dan beberapa platform lain yang disediakan, namun terdapat juga pembayar yang ingin menggunakan kaedah konvensional yang menjadi amalan sejak sekian lama.
"Bagi meraikan kaedah tradisi pembayaran zakat kepada amil, ZPP telah menyediakan tatacara khas yang memenuhi kehendak peraturan sepanjang PKP termasuk penjarakan sosial dan larangan berkumpul.
"Kita telah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan mengenai tatacara agar semua proses yang dijalankan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Malah, kesemua amil yang dilantik untuk membuat kutipan telah diberi penerangan mengenai tatacara tersebut yang menekankan soal keselamatan dan langkah pencegahan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda di sini hari ini.
Amran berkata, antara yang perlu dipatuhi pembayar zakat dan amil seperti mereka yang sihat sahaja dibenarkan membayar dan bertugas membuat kutipan zakat selain perlu memastikan penjarakan sosial yang ditetapkan dilakukan.
Katanya, tiada sebarang sentuhan atau bersalaman dibenarkan sepanjang proses membayar zakat dan selepas amil melakukan akad serta membaca doa, resit akan diberikan dan pembayar zakat boleh beredar.
"Seramai 1,755 amil yang ditauliahkan ZPP di 239 kariah masjid di negeri ini untuk membuat kutipan dan kesemua mereka akan dibekalkan topeng muka serta cecair pembasmi kuman.
"ZPP akan mengemaskini maklumat mengenai kaunter serta lokasi pungutan zakat yang akan dilakukan dan semua perkembangan itu akan disiarkan di semua platform media sosial ZPP," katanya.
Sementara itu, Amran berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM6 juta berbanding RM5.06 juta tahun lalu dan pihaknya percaya dana zakat sangat diperlukan bagi membantu asnaf di negeri ini terutamanya selepas tempoh pasca PKP nanti.
INFO
Masyarakat Islam Pulau Pinang boleh menunaikan zakat fitrah mereka melalui platform-platform berikut:-
1. Aplikasi mudah alih SnapNPay. Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada aplikasi Playstore dan Appstore.
2. Perkhidmatan JomPay.
3. QR Code Bank Muamalat Malaysia Berhad.
4. Perkhidmatan FPX melalui portal www.zakatpenang.com.
5. Perbankan internet Maybank2u.com.
Tatacara khas pembayaran zakat fitrah
TANGGUNGJAWAB PEMBAYAR
1. Pastikan berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang gejala yang boleh dikaitkan dengan serangan virus Covid-19.
2. Sekiranya berada di dalam keadaan yang tidak sihat atau mengalami gejala yang boleh dikaitkan dengan serangan virus Covid-19 seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas, sila wakilkan kepada waris atau individu yang boleh dipercayai.
3. Sentiasa memakai topeng muka semasa berurusan dengan amil zakat fitrah.
4. Membayar zakat fitrah di lokasi yang telah dimaklumkan oleh masjid kariah mengikut jadual pembayaran yang diatur dan kepada amil zakat titrah yang dilantik secara sah oleh MAINPP.
5. Sentiasa menjaga peraturan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dengan amil zakat fitrah semasa melakukan pembayaran zakat fitrah dan pembayar zakat fitrah yang lain sekiranya perlu beratur menunggu giliran.
6. Menyerahkan wang zakat fitrah kepada amil zakat fitrah mengikut kadar nilai yang dipilih mengikut kemampuan dan kembali pada jarak sekurang-kurangnya satu meter sebaik serahan wang dilakukan.
7. Menunggu amil zakat fitrah melakukan akad dan doa sebelum menerima resit zakat fitrah mengikut nilai kadar zakat fitrah yang betul kepada pembayar.
8. Tidak bersalaman dengan amil zakat fitrah yang bertugas.
9. Segera beredar setelah selesai urusan pembayaran zakat fitrah.
TANGGUNGJAWAB AMIL ZAKAT FITRAH
1. Pastikan berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang gejala yang boleh dikaitkan dengan serangan virus Covid-19.
2. Amil zakat fitrah tidak dibenarkan menerima zakat fitrah sekiranya berada di dalam keadaan yang tidak sihat atau mengalami gejala yang boleh dikaitkan dengan serangan virus Covid-19 seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.
3. Sentiasa memakai topeng muka semasa berurusan dengan pembayar zakat fitrah.
4. Kerap mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol atau membasuh tangan dengan sabun dan air bagi mencegah jangkitan Covid-19.
5. Memastikan lokasi pembayaran zakat fitrah selesa dan mematuhi peraturan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter jarak dengan pembayar zakat fitrah dan di antara pembayar yang mungkin datang membayar zakat fitrah dalam waktu yang sama.
6. Menerima wang zakat fitrah daripada pembayar zakat fitrah mengikut kadar nilai yang dipilih dan memastikan pembayar zakat fitrah kembali pada jarak sekurang-kurangnya satu meter sebaik serahan wang dilakukan.
7. Melakukan akad dan doa sebelum menyerahkan resit zakat fitrah mengikut nilai kadar zakat fitrah yang betul kepada pembayar zakat fitrah.
8. Tidak bersalaman dengan pembayar zakat fitrah.
9. Memastikan pembayar zakat fitrah segera beredar setelah selesai urusan penerimaan pembayaran zakat fitrah.