PUTRAJAYA - Semua rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab untuk mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selagi ia tidak ditamatkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau percaya apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan jumlah positif koronavirus (Covid-19) menurun kepada 36 kes dan tiada kematian, ramai yang merasakan bahawa PKP perlu dilonggarkan.
"Saya harap selagi PKP tidak ditamatkan dan selagi tidak ada SOP (prosedur operasi standard) yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan, maka peraturan yang ada pada hari ini terus kekal.
"Justeru, dalam soal pematuhan rakyat kepada PKP, SOP dan peraturan yang diperkenalkan oleh kerajaan ia masih menjadi tanggungjawab kepada semua," katanya pada sidang media (Non-Helath) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari.
Beliau berkata, polis tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap setiap individu yang melanggar PKP.
"Kita jangan lupa ada sesetengah negara yang melonggarkan sekatan jalan raya apabila kes berkurangan, tetapi selepas itu berlaku peningkatan kes yang mendadak sehingga terpaksa mengisytiharkan darurat dan sebagainya.
"Saya harap dengan perkembangan baik (kes positif Covid-19) ini akan menjadi sesuatu yang baik untuk diri kita dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 824 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 603,314 kenderaan.
"Sebanyak 52,380 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,127 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.
"PDRM juga telah menangkap 946 individu berbanding 1,174 individu hari sebelumnya kerana ingkar PKP melibatkan 822 individu yang direman dan 124 individu dijamin polis," katanya.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, daripada 946 individu yang ditahan, 433 ditahan di zon merah kerana ingkar arahan PKP.
"Seramai 101 individu juga dituduh di mahkamah semalam.
"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 20 April 2020 ialah seramai 16,870 individu," katanya.