KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pinjaman berjumlah RM2.7 bilion telah diluluskan untuk lebih 5,000 perniagaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga 15 April 2020 di bawah tiga kemudahan dana pinjaman mudah PKS yang dikelolakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemudahan itu adalah RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Agromakanan berjumlah RM1 bilion dan Kemudahan Automasi dan Digital PKS sebanyak RM300 juta.
Iklan
Iklan
"Daripada RM6.3 bilion yang disediakan sehingga 15 April 2020, pinjaman sebanyak RM2.7 bilion untuk lebih 5,000 PKS dengan kadar faedah serendah 3.5 peratus telah diluluskan oleh bank-bank domestik yang terlibat.
"Ini adalah peningkatan daripada RM1.5 bilion untuk 3,000 PKS pada minggu lalu,” katanya dalam laporan Laksana Kedua, Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin di sini hari ini.
Tengku Zafrul juga yakin menerusi jaminan kerajaan sehingga 80 peratus itu dapat mendorong bank-bank untuk mempermudah kelulusan permohonan pinjaman dan langkah tersebut akan terus meningkat pada minggu-minggu akan datang.
"Saya berharap kemudahan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima. Bagi yang berminat untuk memohon, bolehlah menghubungi mana-mana bank tempatan untuk panduan lanjut,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan