PENAMPANG - Penampilan seorang individu yang memakai kostum Iron Man ketika membeli barangan di Pasar Donggongon pagi semalam menarik perhatian ramai.
Menerusi laman sosial Facebook, Yohan Charles Jayasuriya, 39, berkata, bukan mudah untuk memandu kenderaan pergi ke pasar dengan memakai kostum adiwira itu, namun dia lakukannya bersebab.
"Saya memakai kostum Iron Man bukan mahu populariti, tetapi saya mahu menyebarkan kegembiraan kepada orang ramai.
"Semua tahu saya orangnya bagaimana, saya ceria dan mahu orang lain pun begitu," katanya.
Katanya, dia memuji pihak majlis daerah kerana mengambil langkah terbaik dalam membendung wabak koronavirus (Covid-19) kepada pengunjung pasar.
Jelasnya, dia ke pasar tersebut bagi membeli barangan keperluan untuk disumbangkan kepada 15 orang rakan alumni sekolah yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Katanya, idea untuk membantu rakan-rakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan ST Michael dari rakannya, Randolf Paza.
"Saya berbesar hati untuk menyampaikan bantuan barangan keperluan tersebut kepada penerima," katanya.
Dalam pada itu, istilah ‘kita jaga kita’ cukup mencerminkan usaha dan keprihatinan mereka dalam membantu masyarakat yang terjejas.