Penduduk rayu tapak lot rumah

Iklan
Rosli (kiri) bersama penduduk Kampung Payoh yang lain melihat pelan keluasan tanah di Kampung Bujal yang dipohon dijadikan RTB lot rumah.

KEMAMAN - Penduduk Kampung Payoh, di sini, merayu agar tanah milik kerajaan yang pernah dijadikan tanah pajakan mukim seluas kira-kira 40 hektar di Kampung Bujal, iaitu bersebelahan kampung mereka dijadikan sebagai kawasan rancangan tanah berkelompok (RTB) untuk tapak lot rumah.

Wakil penduduk yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Payoh, Rosli Ismail berkata, ia berikutan masih ramai penduduk kampung itu tidak mempunyai tanah sendiri untuk pembinaan rumah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika tanah hutan itu dijadikan RTB lot rumah, penduduk kampung jiran mereka, Kampung Bukit Teruna juga akan memperoleh manfaat sama.

Katanya, surat permohonan agar tanah itu dijadikan sebagai RTB lot rumah telah dihantar ke Pejabat Tanah Daerah pada dua minggu lalu.

Iklan

"Kami juga telah mendapatkan tandatangan hampir 200 penduduk di kedua-dua kampung sebagai tanda sokongan terhadap permohonan yang dibuat.

"Tanah itu dahulu berstatus pajakan mukim untuk penternakan selama 30 tahun atas nama seorang individu dan pajakannya tamat pada 2009," katanya.

Iklan

Kata Rosli, ekoran tamatnya tempoh pajakan itu penduduk sangat berharap agar tanah kerajaan itu dapat dinikmati oleh penduduk kampung secara keseluruhannya dan bukan khusus kepada hanya seorang individu sahaja.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Payoh, Yahya Ismail berkata, kedudukan tanah itu bersebelahan projek RTB ladang nanas yang diusahakan golongan belia.

"Ladang nanas itu pun bukanlah kekal jadi kita juga merancang untuk tempoh sementara iaitu sekitar lima tahun, tanah yang dipohon itu juga akan diusahakan untuk pertanian sebelum ia dijadikan RTB lot rumah," katanya.