FAM, MFL siap siaga teruskan Liga-M pasca PKP

Iklan
STUART RAMALINGAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sambil menjelaskan FAM dan MFL sudah mempunyai perancangan teliti termasuk untuk kesemua pertandingan di bawah kelolaan FAM antaranya saingan Piala Belia dan Piala Presiden yang ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, FAM dan MFL juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang perlu dipatuhi pasukan iaitu pemain serta pegawai pasukan wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak penyakit berjangkit itu.

"Kami telah hubungi semua ahli gabungan kami, mereka tahu kami telah bersedia dan mereka tahu kami mempunyai opsyen. Semuanya sudah bersedia tetapi seperti kebanyakan negara dan liga dunia, mereka tidak boleh nyatakan dengan tepat bila ia (saingan bola sepak) akan bersambung, mereka hanya boleh beritahu anda bila mereka mahu mulakan.

Iklan

"Kami telah bersedia dari segi penjadualan dan SOP apa yang perlu dilakukan termasuk pemain dan pegawai perlu jalani ujian Covid-19 dan mengisytiharkan mereka tidak mempunyai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti Covid-19,” katanya hari ini.

Mengenai mekanisme saingan Liga-M pasca PKP, Stuart berkata, kedua-dua entiti bola sepak negara itu merangka beberapa pelan mengambil kira jumlah pertandingan musim ini dan tempoh masa ideal diperlukan untuk melengkapkan satu-satu pertandingan.

Iklan

"Berdasarkan perbincangan, kami juga telah sedia dengan jadual perjalanan liga jika ia disambung pada Jun, Julai ataupun Ogos. Tetapi perincian mengenai itu lebih baik MFL yang komen,” katanya.

FAM dan MFL memutuskan untuk menunda kesemua perlawanan Liga-M dan aktiviti bola sepak di negara ini berkuat kuasa 16 Mac, susulan penularan pandemik Covid-19, malah pasukan juga tidak dibenarkan mengadakan sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM sebagai badan induk bola sepak negara tidak mengambil pendekatan terburu-buru dalam memuktamadkan sesuatu keputusan terutama apabila ia melibatkan soal kesihatan dan keselamatan negara.

"Kami faham sekarang bukan masa yang tepat untuk berbincang dengan kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) mengenai bola sepak, pada masa ini mereka mempunyai masalah negara untuk ditangani (Covid-19). Jadi bila saatnya tiba untuk kami berbincang kami bersedia dan saya pasti mereka akan lebih mengetahuinya pada masa itu untuk memaklumkan kepada kami apakah SOP yang betul,” jelas Stuart.