Rumah Rohingya terbakar dibaling molotov, polis buka dua kertas siasatan

Iklan
Ab Rahman (tengah).

KULAI – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian balingan bom molotov yang dipercayai menyebabkan kebakaran kecil pada pagar beberapa rumah di penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihak menerima laporan mengenai kejadian kebakaran itu kira-kira jam 1.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada bom molotov yang dibaling ke beberapa rumah warga Rohingya di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan dan tiada sebarang kecederaan atau kerosakan lain dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video tular di Facebook yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang Melayu supaya datang ke kawasan Kulai.

"Individu dalam video berkenaan turut mendakwa orang Melayu sebagai pengecut dan tidak berani memasuki kawasan itu.

Iklan

"Polis turut menerima satu laporan berhubung hantaran video tular berkenaan," ujarnya.

Ab Rahaman berkata, seorang lelaki warga Rohingya berusia lingkungan 30-an tampil membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam kedua-dua video itu.

Jelas beliau, lelaki berkenaan mendakwa gambarnya disalahgunakan pihak lain untuk menghasilkan video terbabit.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat membinasakan rumah.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam serta mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian turut disiasat.

Ab Rahaman berkata, polis memandang serius kejadian itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan yang boleh memecahbelahkan keamanan serta keharmonian di Johor.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.