Biarlah rakyat menilai

Iklan

BANYAKLAH guru agama Awang yang nasihatkan usah cari pujian di muka bumi. Jikalau kita berkhidmat untuk negara, berkhidmatlah dengan cemerlang.

Tugas bersama kita hari ini ialah nak putuskan rangkaian jangkitan wabak Covid-19. Oleh sebab itu, perlu ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan macam-macam langkah lain.

Iklan
Iklan

Awang puji tindakan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ambil tindakan yang betul.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak dapat pujian kerana kakitangannya yang bersikap profesional.

Iklan

Banyak petugas barisan hadapan mereka yang menyabung nyawa dan berkorban apa saja untuk membantu mengawal wabak itu.

Awang percaya KKM bekerja sebagai satu pasukan. Kebetulan Ketua Pengarah Kesihatan nampaknya menjadi jurucakap krisis ini yang dipercayai.

Iklan

Tak perlulah kawan-kawan menteri beria-ia sangat memuji Menteri sampai membandingkan dengan prestasi Menteri terdahulu.

Anak saudara Menteri pun nampaknya tumpang semangkuk. Katanya, yang patut dapat pujian ialah Menteri bukan Ketua Pengarah. Semua orang tahu memang Menteri yang jadi Boss Besar.

Awang tak pedulilah kalau Menteri tak tahu berapa negeri di Malaysia atau terlupa berapa buah negara di dunia.

Buat masa ini tumpukan saja pada kerja. Pujian datang apabila orang hargai kerja kita. Lagipun perjuangan menentang Covid-19 belum selesai.

Antara dua darjat

Awang setuju sangat dengan Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada siapa boleh mengatasi undang-undang termasuk menteri, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau kakitangan kerajaan.

Setiap hari kita diberitahu bahawa rakyat mesti patuh pada PKP. Mereka yang ingkar boleh didenda atau didakwa di mahkamah.

Kita lihat dalam TV dan surat khabar orang awam naik lori polis. Orang muda duduk lepak di warung yang tidak ada orang berniaga pun dikejar polis, yang solat berjemaah di surau pun ditahan.

Jadi apabila pemimpin politik sendiri tak patuh, rakyat mula bertanya apakah ada dua set undang-undang, satu untuk kami, satu untuk mereka? Rakyat bertanya juga, ada kelas lain-lainkah undang-undang kita? Macam filem Antara Dua Darjat?

Khabarnya ada Menteri yang balik kawasan pada masa PKP.

Ada wakil rakyat yang duduk makan dengan beberapa orang. Lebih terkejut apabila Timbalan Menteri Kesihatan sendiri ada sama. Banyak orang bertanya, bukankah kementerian beliau yang mahukan kita semua patuhi PKP? Ada pula yang sambut hari jadi.

Rakyat perhati semua itu. Lebih-lebih lagi bila masuk dalam media sosial. Semua orang tahu. Gambar atau video jadi viral.

Surat khabar ini ada laporkan apa yang berlaku pada mereka yang ada kedudukan tinggi yang ingkar PKP.

Ada contoh di New Zealand, United Kingdom (termasuk Scotland) dan Afrika Selatan. Kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khalid Nordin pula, kalau di luar negeri, orang seperti ini akan letak jawatan.

Awang selalu percaya, bagi pemimpin, cakap mesti selalu serupa bikin. Jangan cakap lain buat lain.