KETIKA dunia bergelut dengan penularan koronavirus (Covid-19), mungkin terdapat hikmah tersembunyi untuk alam sekitar.
Sejak kegiatan manusia banyak terhenti, terdapat pelbagai berita yang menunjukkan peningkatan kualiti alam sekitar.
Kebanyakan negara di seluruh dunia melaporkan perairan atau sungai mulai kelihatan bersih manakala hidupan di dalamnya mula kelihatan.
Senario sama turut berlaku di Malaysia apabila mereka yang tinggal berhampiran Sungai Klang melaporkan kualiti air sungai tersebut kini lebih bersih dan jernih.
Pusat Alam Sekitar Global (GEC) dalam laporan media baru-baru ini menyatakan peningkatan kualiti air sungai dapat dilihat terutamanya di Sungai Gombak, Sungai Way dan Sungai Kemunsing selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bulan lalu.
Sebelum ini, sungai berkenaan selalu menjadi ‘mangsa’ dan tumpuan pengaliran sampah sarap dari kawasan komersial, industri serta kediaman.
Malah, banyak sungai tercemar teruk sehingga mengganggu bekalan air bersih di beberapa negeri khususnya di Selangor. Pada tahun lalu, penduduk di Selangor terpaksa melalui keperitan hidup akibat gangguan bekalan air susulan tindakan individu tertentu mencemarkan alam sekitar dan sumber air berkenaan.
Insiden jenayah seperti membuang bahan buangan industri secara haram menyebabkan bekalan air bersih kepada pengguna dihentikan.
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, IWK selaku syarikat pembetungan nasional telah mengerah banyak tenaga kerjanya untuk mengekang tindakan tersebut, namun masih terdapat lebih 400,000 lurang-lurang pembetungan di seluruh negara yang berpotensi menjadi tumpuan penjenayah untuk melakukan kegiatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sebagai satu daripada perkhidmatan penting negara, IWK akan terus beroperasi dan menyelenggara sistem pembetungan awam serta menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada rakyat Malaysia.
"Bekerja dalam industri 3D iaitu kotor, sukar dan bahaya serta sering dilupakan, IWK melaksanakan kerja-kerja pada peringkat akhir kitaran air iaitu merawat air sisa kumbahan daripada pelbagai premis kepada satu tahap di mana efluen terawatnya selamat untuk dilepaskan kembali ke perairan atau sungai.
"Barisan hadapan pekerja operasi yang menguruskan sebanyak 8,147 loji rawatan kumbahan dan stesen-stesen pam sentiasa melakukan kerja pada tahap terbaik bagi memastikan sistem pembetungan beroperasi lancar dalam tempoh yang sukar ini,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut IWK, loji-loji rawatan kumbahan beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
Dalam tempoh tersebut, keperluan kepada perkhidmatan itu tidak boleh terganggu atau gagal kerana kesannya nanti pasti menjadi amat serius.
Pada waktu segala kegiatan dan pergerakan manusia dikurangkan, loji-loji rawatan kumbahan terus melepaskan efluen terawat ke dalam sungai yang nyata kini menunjukkan peningkatan kualiti begitu ketara.
IWK dalam kenyataannya turut memaklumkan, kualiti efluen terawat itu menjalani pelbagai proses rawatan sehingga mencapai tahap yang selamat untuk dilepaskan ke dalam sungai-sungai.
"Operasi IWK mematuhi tahap piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan kawal selia.
"Sebagai contoh, terdapat 954 loji olahan kumbahan awam dengan jumlah kapasiti 9,800,000 populasi setara yang melepaskan 2,200 juta liter sehari (mld) air efluen terawat ke dalam Sungai Klang dan kesemua loji ini melepaskan efluen terawat pada tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Bagaimanapun, apa yang orang ramai mungkin tidak beri perhatian adalah terdapat pelbagai punca pencemaran di sepanjang sungai-sungai ini,” menurut kenyataan itu.
Terus pelihara alam sekitar
Selain efluen terawat yang dilepaskan daripada loji-loji rawatan kumbahan, terdapat juga bahan buangan seperti dari loji rawatan buangan industri, loji rawatan sampah pepejal (leachate), pasar basah, kawasan pertanian dan ternakan yang tiada kemudahan rawatan, air basuhan, pembuangan haram serta kawasan setinggan.
Tanpa pengurusan yang baik ke atas pelepasan bahan-bahan buangan berkenaan, pastinya ia akan mencemarkan sungai-sungai di Malaysia.
Baru-baru ini, Sungai Tasek Anak berhampiran Pantai Tengah, Langkawi menunjukkan kualiti air yang bersih dan jernih berbanding sebelum tempoh PKP.
IWK berkata, sebelum ini beberapa kali pihaknya dipersalahkan oleh beberapa komuniti tempatan kerana didakwa melepaskan ‘air hitam’.
Namun, sejak penutupan sektor komersial ketika PKP, Loji Rawatan Kumbahan IWK Pantai Tengah (LKI029) telah melepaskan sebanyak 4.16 juta liter (MLD) air efluen terawat sekali gus menyumbang kepada air yang lebih bersih dan jernih di Pantai Chenang dan Pantai Tengah.
"Mungkin tempoh PKP terbukti baik untuk alam sekitar namun tentu ada yang terfikir apa akan terjadi apabila perintah ini ditarik balik nanti dan orang ramai mula melakukan rutin harian mereka kembali.
"Sekiranya kita tidak endah lagi untuk menjaga sungai- sungai, sudah pasti kemusnahan sumber air akan berlaku lagi.
"Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya terus berhati- hati dalam menjalankan aktiviti dan bersama menjaga serta memelihara alam sekitar,” kata kenyataan itu.
IWK juga berharap orang ramai dapat menghargai perkhidmatan yang disediakannya.
Menurut kenyataan itulagi, walaupun tiada penyelarasan tarif caj pembetungan sejak penubuhannya 26 tahun lalu dan sebahagian besar kos ditanggung oleh kerajaan Persekutuan, pelbagai inisiatif dijalankan untuk meningkatkan taraf loji-loji rawatan kumbahan.
Katanya, tarif semasa sedia ada adalah antara yang terendah di dunia dan tidak mencukupi untuk menampung kos operasi dengan kadar kutipan tahunan sekitar 60 peratus.
Justeru, kesedaran orang ramai atas keperluan untuk merawat air sisa kumbahan amat penting bagi memastikan alam sekitar yang lebih baik.