GOMBAK - [DIKEMASKINI] Tujuh individu dikesan positif koronavirus (Covid-19) dalam saringan komuniti yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor sejak dua minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare, Dr Muaz Omar berkata, lima kes dikesan di Hulu Langat dan dua kes di Shah Alam serta Klang.
Menurutnya, mereka yang dikesan positif itu telah dirujuk ke pejabat kesihatan daerah (PKD) kawasan terlibat untuk tindakan selanjutnya.
"Lingkungan mereka yang positif berusia antara 50 hingga 90 tahun dengan hanya dua daripada mereka mempunyai simptom sakit tekak dan sakit sendi manakala lima yang lain tidak bergejala.
"Keputusan saringan diserahkan kepada PKD daerah terlibat bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan termasuk siasatan terhadap kontak pesakit," katanya pada Saringan Komuniti Covid-19 di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak di sini hari ini.
Dalam program hari ini, seramai 150 individu telah menjalani saringan setakat jam 11 pagi yang menggunakan kaedah pandu lalu selain pemeriksaan di Rumah Chesire Selayang dan Pejabat Penghulu Mukim Setapak.
Mengulas lanjut Saringan Komuniti Covid-19 di bawah kerajaan negeri itu katanya, sebanyak enam pusingan dengan 3,408 orang awam telah menjalani saringan itu.
"Dalam tempoh dua minggu sebanyak enam pusingan saringan dilakukan bermula 11 April lalu di Hulu Langat (Kajang, Sungai Ramal, Kajang) dan diteruskan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam, Petaling (Puchong Prima, Shah Alam), Rantau Panjang Klang dan Sepang.
"Peringkat keenam melibatkan program serentak di Gombak dan Hulu Selangor hari ini adalah penutup program sebelum Ramadan," katanya.
Ditanya kemungkinan program saringan diteruskan atau sebaliknya katanya, perkara tersebut diputuskan oleh kerajaan negeri.
"Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan di bawah program Saringan Komuniti Covid-19 dengan sasaran 5,000 saringan akan dilaksanakan atau RM300 setiap satu saringan.
"Sasaran itu dijangka mampu dilengkapkan menerusi saringan yang dijalankan pada hari ini dan esok," katanya.