BEKAS penyerang Liverpool, Ian Rush mengakui skuad Liverpool pada ketika ini jauh lebih bagus dan berkualiti berbanding zaman kegemilangan pasukan itu pada era 80-an.
Menurutnya, tahap cabaran bola sepak pada zaman moden ini lebih sukar dan anak buah Jurgen Klopp mampu mengatasinya untuk muncul antara pasukan terkuat di dunia pada ketika ini.
"Untuk menjadikan mereka (pasukan Liverpool sekarang) setaraf dengan zaman kami, mereka memerlukan piala untuk membuktikannya.
"Tetapi, jika melihatkan rekod dan prestasi semasa, mereka jauh lebih bagus. Memenangi trofi adalah satu-satunya cara untuk menunjukkan kemampuan mereka," katanya.
Skuad kendalian Klopp itu semakin hampir untuk menamatkan penantian 30 tahun mendakap piala Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum liga ditangguhkan akibat wabak koronavirus (Covid-19) pada 13 Mac lalu.
The Reds sudah menempa beberapa kejayaan manis sejak tahun lalu dengan memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia.
Dalam pada itu, Rush menasihatkan para pemain Liverpool supaya mengekalkan prestasi sekiranya mahu terus mengekalkan status sebagai pasukan terbaik dunia pada masa akan datang.
"Berdasarkan pasukan Liverpool dahulu, kami mempunyai semangat yang tinggi. Semasa di bilik persalinan atau pada sesi latihan setiap pagi, kami sentiasa bersemangat. Itu perkara paling penting.
"Anda boleh lihat ketika kami menang tiga piala pada 1984, ia sebuah pasukan yang mantap dan saya pada ketika itu mampu menjaringkan 47 gol.
"Kami semua bersatu dan situasinya lebih kurang sama seperti pasukan sekarang. Apabila anda bermain bola, perkara paling sukar untuk seseorang pengurus adalah untuk memastikan setiap pemain sentiasa gembira," katanya.