Kerana Musang King, empangan tergadai

Iklan
Kawasan Gunung Inas yang telah diratakan.

BALING - Penduduk terlibat dalam pembinaan empangan air di kompartmen 8 Gunung Inas mahu sumber minuman utama itu diselamatkan daripada pencemaran pembalakan dan projek Musang King.

Tahak Lah Ahmad, 76, berkata, empangan itu dibina sejak 40 tahun lalu secara bergotong royong oleh penduduk Kampung Iboi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia mengambil masa dua tahun untuk siap dan selama ini itulah sumber berharga buat mereka.

"Nak bina bekalan air masyarakat ni cukup susah. Kami bergotong royong setiap hari seramai 500 orang,” katanya.

Iklan

Dia ditemui dalam mesyuarat penduduk bersama Adun Bayu, Abd Nasir Idris dalam mencari jalan penyelesaian selamatkan empangan air berkenaan.

Projek di bawah kerajaan Barisan Nasional itu turut libatkan kompartment 6,7 dan 9 dan kampung-kampung lain.

Iklan

Tahak berkata, setiap orang baik lelaki mahupun wanita akan memikul ketulan-ketulan batu yang akan dijadikan bahan binaan empangan ke lokasi.

"Perjalanan perlu ditempuh penduduk kampung ialah sejauh enam kilometer. Di atas tu kami cangkul tanah pula untuk tanam batang paip,” katanya.

Berkongsi lanjut keperitan membina empangan itu, Tahak berkata, penduduk akan mula mendaki bukit seawal jam 8 pagi.

"Sampai di sana jam 9 lebih, kemudian mula kerja dan berhenti waktu Zohor untuk makan dan solat. Kami sambung kerja sampai lima petang sebelum balik ke kampung,” katanya.

Abd Nasir menghadiri mesyuarat bersama penduduk.

Denda RM10 tak hadir gotong-royong

Tahak berkata, setiap penduduk wajib hadir untuk bergotong royong.

"Jika tak dapat hadir sangat kena cari pengganti sama ada anak atau isteri. Jika tak hadir akan didenda RM10. Sekiranya isteri atau anak tak boleh pi, ketua keluarga kena upah orang lain pi buat kerja dengan nilai bayaran yang sama,” katanya.

Tambahnya, penduduk turut mengumpul duit bagi membeli saluran paip untuk disambung ke kediaman masing-masing.

"Sebahagian paip untuk empangan disumbangkan Pejabat Kesihatan Kupang waktu itu manakala paip sambungan ke rumah, kami keluarkan duit sendiri,” katanya.

Katanya, penduduk hanya membayar kos pengurusan RM3 sebulan dan nilai bayaran itu dibayar hingga hari ini.

"Dulu kami minum air bersih dan jernih, ambil wuduk pun guna air bukit tu. Tapi air sekarang keruh. Sebab itulah orang kampung kacau tak bagi buat ambil balak dan buat projek Musang King. Tempat lain banyak,” katanya.

Tahak berkata, sebagai orang lama, dia kecewa apabila ada pihak lebih mementingkan keuntungan berbanding sumber air penduduk.

"Kami sedihlah..itu lah pengorbanan dan usaha kami untuk generasi akan datang. Harapan Pak Long kerajaan tolong lah dengar masalah kami ni. Yang jaga kerajaan sekarang bantulah kami, tolonglah kami..dah umur 76 tahun pun minum air keruh,” katanya.

Bimbang wabak kepialu berulang

Pengerusi Badan Bertindak Bantah Pembalakan dan Projek Musang King Kompartmen 8, Malik Arshad berkata, Sungai Tiak di kampung berkenaan telah dicemari sisa najis pekerja projek.

Menurutnya, tiada sistem kumbahan sistematik dibina namun najis hanya dibuang melalui anak sungai dan air berkenaan disalir ke Sungai Lata Celak.

"Pekerja mereka dari Indonesia ada lebih kurang 20 orang. Bila saya bersama Adun Bayu pergi tinjau, kami lihat tandas pun tak ada,” katanya.

Katanya, dua tahun lalu lebih kurang 15 orang dijangkiti wabak kepialu akibat pencemaran sungai di kampung itu.

"Kes waktu itu berpunca daripada pembalakan haram. Sisa makanan dibuang dalam anak sungai. Saya bimbang masalah sama akan berulang kepada orang kampung,” katanya.

Ada kawasan lain untuk pembalakan

Malik berkata, Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Masyarakat Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min telah datang melihat kawasan pembalakan pada hujung tahun lalu.

"Beliau kata Musang King haram ditanam kerana ia bukan klon balak. Tetapi hari ini benda ini masih senyap,” katanya.

Menurutnya, penduduk tidak menghalang pembangunan yang membawa keuntungan kepada kerajaan negeri tetapi biarlah ia mengambil kira kepentingan rakyat.

"Jika dari awal syarikat berbincang dengan orang kampung, kita ada kawasan hutan yang langsung tidak terlibat dengan empangan air masyarakat,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri dapat menjimatkan kos apabila penduduk hanya menggunakan wang untuk membina sumber air sendiri.

"90 peratus orang kampung ini guna air masyarakat. Apa yang kita minta daripada kerajaan hanya peruntukan paip,” katanya.

Sementara itu, Abd Nasir berkata, kerajaan negeri akan memperoleh premium dan cukai berulang sekiranya tanah kawasan berkenaan diserah kepada penduduk.

"Tanah kita di Kedah luas, kerajaan dapat menjana hasil kerajaan negeri. Hasil Kedah dalam Belanjawan seperti diumum sebelum ini baru RM 700 juta, tidak sampai RM 1 bilion,” katanya.

Sinar Harian pada 3 Januari lalu melaporkan Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin memberitahu kerajaan telah arahkan pemaju perbaiki semula empangan air masyarakat yang terjejas.