Tiada jangkitan Covid-19 di depot imigresen seluruh negara

Iklan
Khairul Dzaimee Daud - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Tiada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di 14 depot tahanan imigresen di seluruh negara setakat ini, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, saringan awal pemeriksaan Covid-19 telah dilaksanakan terhadap warga asing yang ditahan sebelum atau selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Kami bekerjasama dengan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan awal gejala Covid-19 seperti batuk, selesema dan juga pemeriksaan suhu badan bagi tahanan yang baru mendaftar masuk serta tahanan sedia ada.

"Selain itu, kesemua pelawat asing tidak dibenarkan melawat depot tahanan bagi mengelakkan timbul kluster Covid-19 yang baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Iklan

Khairul Dzaimee berkata, semua depot tahanan imigresen di negeri-negeri telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak bomba di negeri masing-masing melakukan proses sanitasi keseluruhan depot.

Beliau berkata, sepanjang PKP, pengoperasian depot tahanan imigresen berjalan seperti biasa dengan menerima kemasukan tahanan yang selesai menjalani hukuman penjara dan tahanan daripada agensi penguatkuasaan lain bagi tujuan pengusiran ke negara asal.

Iklan

"Selain itu, depot tahanan juga menerima pesalah-pesalah PKP warga asing yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan lain,” katanya.

Menurutnya, setakat 21 April, terdapat 10,500 banduan asing dalam depot tahanan yang sedang menunggu untuk menjalani hukuman dan pengusiran secara berperingkat.

Selain itu, beliau berkata, bagi fasa pertama pengusiran, pihaknya telah menghantar pulang sebanyak 1,022 tahanan warga Indonesia pada 9 April dan 10 April lepas.

"Terdapat dua destinasi penghantaran pulang warga Indonesia iaitu seramai 509 orang ke Jakarta dan 513 orang ke Medan yang pihak Malaysia Airlines Berhad telah menyediakan enam buah pesawat," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, fasa kedua program penghantaran pulang pula akan dilaksanakan esok melibatkan sebanyak 145 tahanan warga Thailand.

Beliau berkata, mereka akan dihantar pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Bangkok.

"Fasa ketiga program ini dirancang dilaksana pada 26 April melibatkan seramai 607 tahanan warga Bangladesh,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya ada mengesan kluster baharu warga asing yang masuk ke negara ini dalam tempoh PKP ini, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Katanya, pegawai depot bertugas seperti biasa mengikut jadual untuk melancarkan aktiviti pengurusan kawalan dan keselamatan tahanan. - Bernama