IPOH - Sikap sebuah keluarga masyarakat orang asli di Chenderiang, Tapah yang enggan menerima bantuan kotak makanan berulang kali menyentuh hati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menyifatkan ia sebagai sesuatu yang terpuji, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, tindakan keluarga itu wajar dicontohi kerana ia secara tidak langsung memberi lebih peluang kepada mereka yang layak untuk mendapat bantuan.
"Saya syukur dan bangga kerana apabila ada yang datang bawa bantuan kotak makanan, keluarga itu menolak dengan menyatakan mereka telah terima sebelum ini. Ini sifat yang amat mulia, saya tersentuh.
"Kita (kerajaan) kena gunakan (kotak makanan) sedia ada sebaik mungkin kerana kita tidak pasti bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan," katanya dalam sidang media selepas menerima sumbangan topeng muka serta pelindung muka daripada Pertubuhan Muts and Mittens di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM26 juta untuk membantu rakyat yang terjejas dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) termasuk penyediaan kotak makanan.
Ahmad Faizal berkata, dianggarkan sebanyak lebih 1.2 juta orang telah mendapat manfaat daripada pelbagai bantuan kerajaan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak leka dengan pelaksanaan PKP selepas daerah Muallim, Kuala Kangsar dan Kampar diisytihar sebagai zon hijau berikutan tiada kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 14 hari.
"Kerajaan negeri bimbang apabila kita umumkan tiga daerah diklasifikasikan sebagai zon hijau kita dapati rakyat sedikit leka dengan PKP. Rakyat mestilah terus patuh kepada PKP," katanya. - Bernama