KUANTAN - Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan enam lagi insentif bagi membantu golongan yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini melalui peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM600,000.
Melalui insentif baharu untuk fasa keempat itu, seramai 4,225 penerima mendapat manfaat termasuk dalam kalangan veteran tentera, bekas polis, sukarelawan askar wataniah dan nelayan tidak berlesen dengan setiap penerima bakal menerima bantuan tunai RM100 dan barangan dapur bernilai RM50.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sepanjang PKP ini, sebanyak 28 insentif sudah diumum dan dilaksanakan kerajaan negeri melalui empat fasa dalam tempoh 23 Mac lalu hingga hari ini.
"Nilai peruntukan serta implikasi kewangan yang ditanggung oleh kerajaan negeri untuk kesemua 28 insentif itu berjumlah RM24.962 juta atau kira-kira 3.37 peratus daripada Bajet Negeri Pahang 2020 (RM739.89 juta).
"Jumlah penerima keseluruhannya melibatkan kira-kira 101,894 ketua isi rumah atau kira-kira 27.86 peratus daripada kesemua 365,800 ketua isi rumah di negeri ini," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, melalui insentif baharu diumumkan itu, sebanyak RM360,000 diperuntukkan kepada 2,400 veteran tentera berpencen tanpa gaji yang juga ahli Persatuan Veteran Tentera Negeri Pahang, manakala sebanyak RM90,000 diperuntukkan kepada 600 bekas polis yang juga ahli Persatuan Bekas Polis Pahang.
Pada masa sama katanya, sumbangan serupa juga dihulurkan kepada 300 anggota sukarela Rejimen 505 Askar Wataniah di negeri ini dengan nilai peruntukan RM45,000 dan 565 nelayan tidak berlesen turut menerima peruntukan RM84,750 dengan bentuk bantuan sama.
Wan Rosdy berkata, melalui inisiatif itu juga, kerajaan negeri menyediakan bantuan barangan keperluan dapur bernilai RM50 kepada 300 penerima melalui permohonan badan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah peruntukan RM15,000.
"Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM20,000 di bawah insentif ini untuk sumbangan kepada pengurusan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) untuk menampung perbelanjaan makan minum 60 pelajar anak Pahang yang kekal tinggal di rumah-rumah sewa ekoran PKP," katanya.
Wan Rosdy turut berharap kesemua 28 insentif itu dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan PKP dalam membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.